Penderma tambah stok Tabung Darah

Penderma tambah stok Tabung Darah

Oleh Pg Fairol RMF dan Faridah Haji Ibrahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Dis – Tabung Darah Bergerak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) telah berjaya mengutip lebih 12 pain darah dalam kempen derma darah yang diadakan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Setakat ini, kempen seumpamanya telah berjaya mengumpul seramai 1,500 orang penderma dalam masa setahun.

Penyelia Pendermaan Darah RIPAS, Haji Iqmal bin Haji Ismail, berkata kempen yang dianjurkan dengan kerjasama Kompleks Yayasan itu dibukakan kepada orang ramai untuk menampung darah yang sedia ada di tabung darah RIPAS bagi keperluan pesakit yang memerlukannya.

“Kami juga sangat gembira atas bantuan derma orang ramai sebagai hadiah yang tiada ternilai dan setiap derma dihargai, kempen pendermaan darah ini akan diteruskan lagi esok (31 Disember) dengan kerjasama Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) yang akan diadakan di Kedai CBTL, The Mall dari jam 10 pagi hingga 2 petang,” jelas beliau.

Orang ramai yang berkesudian menderma darah mereka dalam kempen derma darah di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.
Orang ramai yang berkesudian menderma darah mereka dalam kempen derma darah di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin.

Menurutnya lagi, Hospital RIPAS dan hospital lainnya di negara ini menyasarkan keperluan darah sebanyak 50 kantung darah sehari, terutamanya daripada para penderma muda dan sihat dalam lingkungan umur 18 tahun ke atas yang bersedia dan berkesudian untuk menderma.