Pendidik perlu tabah, positif

Pendidik perlu tabah, positif

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Seorang pendidik bukan hanya bertugas memindahkan ilmunya kepada orang lain atau kepada anak didiknya, malah mereka bertanggungjawab untuk menjadi fasilitator atau pemudah cara dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, fungsi dan tugas pendidikan dalam pendidikan telah disimpulkan menjadi tiga bahagian iaitu sebagai pengajar, sebagai pendidik dan sebagai pemimpin dan pengendali.

Pengarah Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Rosita binti Haji Yahya menjelaskan, seorang pengajar berfungsi untuk merencanakan program pengajaran dan melaksanakan program yang telah disusun serta mengakhiri dengan pelaksanaan penilaian setelah program dilakukan.

Manakala itu, sebagai pendidik pula, mengarahkan anak didik ke arah keperibadian kamil seiring dengan tujuan Allah Subhanahu Wata’ala menciptakannya dan sebagai pemimpin dan pengendali pula ia menjadi seorang pemimpin kepada diri sendiri, anak didik dan masyarakat.

Salah seorang peserta menerima sijil yang telah disampaikan oleh Hajah Rosita.
Salah seorang peserta menerima sijil yang telah disampaikan oleh Hajah Rosita.

Beliau menekankan perkara ini semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat pada Majlis Penutupan Rasmi Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian bagi Bakal Graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) 2016 yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, petang tadi.

Program kemantapan aqidah dan kerohanian tersebut merupakan program yang julung-julung kalinya diadakan dan dikendalikan bersama oleh Bahagian Pentadbiran KUPU SB dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama semua fakulti dan pusat KUPU SB.

Program tiga hari yang bermula pada 24 Mei lalu itu telah disertai seramai 249 orang peserta dan diisikan dengan bengkel, ceramah, tazkirah dan zikir bagi pengukuhan akidah dan kerohanian untuk bakal graduan apabila mereka bertugas sepenuhnya sebagai seorang pendidik.

Antara tujuan program adalah untuk membentuk sahsiah pelajar ke arah kecemerlangan insan yang bertakwa serta melahirkan sikap positif dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup sebagai seorang pendidik.

Salah seorang peserta bengkel yang ditemui pihak Media Permata, Awang Abdul Rajak bin Raya, yang merupakan pelajar Mahasiswa Sarjana Muda Perguruan Ugama Syariah, menjelaskan bahawa antara aktiviti yang dianjurkan semasa program ini ialah ‘Dakwah bil Hikmah’ di mana mereka diajar bagaimana menyeru atau berdakwah pada masyarakat mengikut latar belakang masyarakat yang didakwah.

Selain daripada itu, para peserta juga mengikuti aktiviti menghalusi bacaan Al-Quran dan sembahyang untuk memastikan bahawa apa yang dilakukan adalah betul sebelum disampaikan kepada masyarakat lain.

Majlis telah diakhiri dengan penyampaian sijil kepada wakil-wakil peserta yang telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.