Pendidikan amat penting

Pendidikan amat penting

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Pendidikan amat penting dalam pembangunan rohani dan jasmani manusia dan sudah terbukti memberi sumbangan yang sangat bermakna dalam pembangunan modal insan.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned berkata, kepentingan pendidikan terserlah apabila hampir semua negara mewajibkan pendidikan rendah dan sebahagian besarnya pula mewajibkan peringkat menengah, malah kebanyakan negara menggalakkan, bahkan menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan peringkat tinggi.

Yang Berhormat Pehin menekankan kepentingan pendidikan ini semasa menyampaikan syarahan perdana bertajuk ‘Masa Depan Pengajian Tinggi Islam di Negara Brunei Darussalam: Harapan dan Cabaran’ semasa Kuliah Ulang Tahun Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Sambutan Ulang Tahun Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) ke-5 yang berlangsung di Dewan Senat, Dewan Canselor UBD, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, Brunei juga mengutamakan serana pendidikan yang terbukti dengan penubuhan beberapa buah pusat pengajian tinggi seperti UBD yang ditubuhkan pada 28 Oktober 1985 dengan moto ‘Ke arah Kesempurnaan Insan’; Institut Teknologi Brunei pada 1986 dengan moto ‘Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Kebangsaan Kita’; Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pada 1 Januari 2007 dengan moto ‘Dan Bertakwalah Kamu Kepada Allah, Dan Allah Mengajar Kamu’; Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) pada 20 Januari 2007 dengan moto ‘Dia (Allah) Mengajarkan Kepada Manusia Apa Yang Tidak Diketahuinya’.

Serana pendidikan ini, khususnya di peringkat tinggi, jelas Yang Berhormat Pehin, merupakan pemprosesan manusia-manusia ilmuan yang diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan rohani dan jasmani.

Tegas beliau lagi, tertubuhnya pusat pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam adalah seperti melahirkan anak damit dalam keadaan mulus dan suci tanpa noda.

Ia perlu ditatang dengan baik, disuluh perkembangannya sebagai usaha menjadikannya insan sempurna. Begitulah juga dalam usaha untuk menjadikan pengajian tinggi sebagai pengajian yang ulung dan syiar kepada negara, maka adalah perlu ia dikelola dengan cara-cara yang ‘berkat’.

Pengelolaan yang berkat, tambah beliau, adalah sama sahaja dengan pengelolaan terhadap anak damit. Pengajian tinggi Islam ditubuhkan sama halnya dengan kelahiran anak damit, iaitu dalam keadaan mulus dan suci bersih.

“Kita semua maklum, anak damit yang baru lahir, ibu bapalah pengelolanya. Selaku pengelola, mereka itulah yang mencorakkan segala-galanya, sama ada mahu menjadikan anak orang baik atau pun sebaliknya,” jelasnya.

Dengan merujuk secara khusus UNISSA sebagai pusat pengajian tinggi Islam, Yang Berhormat Pehin berkata, pusat ini mempunyai hala tuju yang jelas, yang dapat diketahui daripada titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-3 UNISSA pada 2 November 2013, yang antara lain menyatakan; “UNISSA hendak berazam untuk melahirkan cendekiawan bertaraf ulama. Mereka inilah kelak yang akan menjadi tonggak kekuatan kita, di mana kekuatan itu amat diperlukan oleh negara. Untuk mencapai matlamat yang besar ini, UNISSA tentu saja memerlukan barisan sumber tenaga manusia yang berkualiti, terutama tenaga akademik. Tanpa ini, semua harapan tidak akan menjadi kenyataan. Dalam pada itu, ukuran kualiti juga hendaklah dikenal pasti, sesuai dengan moto ‘Islam Tulen’ dan jati diri MIB”.

Menurut Yang Berhormat Pehin, inilah hala tuju itu, iaitu untuk melahirkan cendekiawan bertaraf ulama yang datang dan bersumberkan daripada Islam tulen dan bercalakkan jati diri MIB.

ARTIKEL YANG SAMA