Pendidikan awal penting

Pendidikan awal penting

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Bagi tahun ini, seramai 2,819 murid memasuki kelas pra sekolah di seluruh negara dan secara amnya memulakan persekolahan mereka hari ini.

Oleh itu, bagi melihat perjalanan kemasukan murid-murid berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, telah mengadakan lawatan ke dua buah sekolah di Kluster 4.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, sebagai satu landasan utama dalam pembentukan anak-anak, pendidikan dan pemedulian kanak-kanak menjadi tumpuan utama lawatan Yang Berhormat Pehin ke Sekolah Rendah (SR) Kapok, Muara dan Sekolah Rendah Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching.

Turut menyertai rombongan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Lawatan rombongan Yang Berhormat Pehin bermula di SR Kapok, di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Guru Besar, Awang Zulkifle bin Haji Duraman dan Ketua Kluster 4, Hajah Mariam binti Ladi.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi meluangkan masa bersama kanak-kanak semasa melawat SR Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi meluangkan masa bersama kanak-kanak semasa melawat SR Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching.

Ketika berada di sekolah ini, Yang Berhormat Pehin dan rombongan dibawa melawat ke blok pra sekolah bagi melihat perjalanan pengajaran yang sedang dijalankan di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini, SR Kapok menerima seramai 57 orang murid pra sekolah, secara keseluruhannya, sekolah ini mempuyai seramai 476 pelajar dan 36 orang tenaga pengajar,

Seterusnya rombongan Yang Berhormat Pehin meneruskan lawatan ke SR Haji Mohd Salleh di mana ketibaan mereka dialu-alukan oleh Guru Besar, Dayang Hainyisah binti Haji Mustapa.

Sekolah ini mempunyai seramai 333 orang pelajar dan seramai 33 orang tenaga pengajar, manakala pada tahun ini sekolah ini menerima seramai 37orang murid prasekolah.

Turut menyertai rombongan lawatan itu ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus; Pemangku Pengarah jabatan Sekolah-sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar; Pemangku Pengarah Jabatan Kenaziran, Dayang Nadia Lee Siew Hoon Abdullah dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, pada masa ini, sebanyak 118 buah sekolah rendah kerajaan telah menyediakan kelas-kelas prasekolah.

Kementerian melalui Unit Pemedulian dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak telah membuat pelbagai inisiatif demi meningkatkan visi Kementerian Pendidikan dan juga bagi mendukung pencapaian Wawasan Brunei 2035 serta hasrat Sistem Pendidikan Negara Abad ke-21 (SPN21).

Antara inisiatif yang diusahakan, menurut kenyataan itu lagi, termasuk Program Oreintasi Prasekolah, program kemasukan dan pendaftaran kanak-kanak pra sekolah secara Berperingkat-Peringkat (Staggered Entry and Registration) dan program penempatan sukarelawan Pelajar Tingkatan Enam Atas dan Tingkatan Lima di kelas prasekolah sebagai pembantu guru.

ARTIKEL YANG SAMA