Pendidikan Islam perlu reformasi

Pendidikan Islam perlu reformasi

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mei – Kurikulum dalam sistem pengajian dan pendidikan Islam perlu menjalani suatu perubahan supaya pengajarannya dapat disesuaikan dengan suasana kehidupan pada hari ini.

Perubahan dalam sistem pendidikan Islam itu bermakna pengubahsuaian dan inovasi perlu diterapkan ke dalam sistem itu termasuk pengajaran ilmu keusahawanan secara praktikal.

Gesaan itu dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman ketika berucap pada perasmian Persidangan Antarabangsa SOASCIS ke-5, yang berlangsung di Dewan Syarahan, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam, hari ini.

Turut hadir sebagai penceramah persidangan kali ini ialah Tan Sri Profesor Mohd Kamal Hassan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Muzaffer Seker dari Necmittin Erbakan University, Konya, Turki dan Profesor Omar Kasule dari Institut Kefahaman Islam Antarabangsa, Arab Saudi.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin menimbulkan persoalan mengenai berapa banyak perubahan yang boleh diserapkan dalam pengajian Islam yang menjurus kepada perlunya diterapkan konsep Wassatiyyah supaya dapat mewujudkan suatu keseimbangan dalam pengajian Islam.

“Terdapat perkara-perkara yang tidak dapat diubah kerana ia merupakan ajaran Islam yang tidak boleh diubah, dan terdapat juga keperluan manusia yang tidak akan berubah dan terdapat juga beberapa perkara yang perlu perubahan kerana beberapa perubahan dalam kehidupan,” kata beliau.Sehubungan itu, beliau menyarankan agar keseimbangan dicapai dalam menangani kedua-dua ekstrem, iaitu kepercayaan bahawa ajaran Islam tidak boleh diubah dan ekstrem kedua iaitu kecenderungan untuk melakukan perubahan yang amat ketara.

Menyentuh mengenai persidangan anjuran Pusat Pengajian Islam Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASCIS) yang membawa tema ‘Inovasi dan Keusahawanan Dalam Pengajian Islam Masa Kini,’ Yang Berhormat Pehin berkata, kerelevanan tema SICON 5 menjadi platform bagi pertemuan cendekiawan Islam dalam usaha untuk mencari idea dan inisiatif baru yang dapat merumuskan struktur dan kurikulum pendidikan Islam yang lebih baik.

Menurutnya, pertemuan begitu merupakan cara yang lebih baik dan langkah praktikal untuk mengislamkan pengetahuan yang sering diperkatakan buat sekian lama.

Ujarnya lagi, penggabungan kurikulum pendidikan sekular ke dalam pendidikan agama di peringkat rendah dan menengah tidak mencukupi kerana apa yang lebih penting adalah untuk menjadikan pendidikan Islam di peringkat kolej dan universiti lebih menyeluruh dengan menyelitkan bidang pengajian yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya kepelbagaian bidang pengajian itu tidak hanya diterima sebagai sebahagian daripada pendidikan Islam, sebaliknya perlu juga menjadikan kurikulum lebih bersifat positif dan responsif kepada kehendak semasa.

Awal daripada itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan Antarabangsa SOASCIS ke-5, Profesor Datuk Dr Osman bin Bakar berkata, antara objektif persidangan itu adalah untuk menerangkan makna sebenar dan keperluan inovasi dan keusahawanan kerana idea tersebut diaplikasikan dalam pengajian Islam.

Persidangan itu juga dapat membekalkan perbincangan yang teoretikal mengenai idea ijtihad, tajdid, islah dan bid’ah dengan tujuan untuk mengkaji kerelevanannya dalam bidang pengajian Islam.

Selain itu, pertemuan pelbagai ahli akademik Islam itu juga dapat membincangkan peluang untuk memperkasakan pendidikan Islam yang mungkin dapat membuka senario baru berdasarkan keempat-empat elemen yang dibincangkan itu.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu menyaksikan kira-kira 10 orang penceramah dari universiti dan institusi pengajian Islam antarabangsa menyampaikan pelbagai topik berkaitan Islam dan perubahan.

ARTIKEL YANG SAMA