Pendidikan Islam punya kekuatan tersendiri

Pendidikan Islam punya kekuatan tersendiri

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Pendidikan Islam mempunyai kekuatannya yang tersendiri kerana dengannya kita berupaya meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan tamadun manusia yang cemerlang dalam aspek duniawi dan juga ukhrawi.

Perkara tersebut antara inti pati yang disentuh oleh Penceramah Jemputan dari Malaysia, Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid semasa Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad S.A.W yang diselajurkan dengan Doa Kesyukuran Sempena Ulang Tahun Penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-9 yang berlangsung di Dewan Auditorium, UNISSA.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal. Juga hadir timbalan rektor UNISSA, penolong rektor UNISSA, pegawai-pegawai utama, dekan-dekan, dan timbalan-timbalan dekan UNISSA serta para jemputan khas yang lain.

Ustaz Don Daniyal dalam ceramahnya juga berkata, terdapat banyak ayat di dalam Al-Quran yang mengutarakan aspek pendidikan dalam pembinaan tamadun manusia, bahkan penurunan Al-Quran itu sendiri bermatlamat untuk mendidik manusia.

Begitu juga dengan hadis dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang dilihat menjurus kepada kepentingan pendidikan dalam memperkasakan tamadun ummah dan dikuatkan lagi dengan beberapa contoh tindakan yang Baginda laksanakan dalam menggalakkan umat Islam untuk mencintai ilmu pengetahuan. Majlis berkenaan juga dihadiri lebih 300 orang mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

Dr. Haji Norarfan bersama hadirin yang lain mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal.
Dr. Haji Norarfan bersama hadirin yang lain mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Don Daniyal.
Ustaz Don Daniyal semasa menyampaikan ceramahnya.
Ustaz Don Daniyal semasa menyampaikan ceramahnya.
Sebahagian daripada 300 orang pelajar dan jemputan yang hadir ke majlis keagamaan berkenaan.
Sebahagian daripada 300 orang pelajar dan jemputan yang hadir ke majlis keagamaan berkenaan.

Sementara itu, Ustaz Don Daniyal yang juga Pengurus Besar KUISCELL Sdn. Bhd. turut mengadakan perjumpaan dengan Dr. Haji Norarfan dalam usaha bagi menjalinkan ikatan ukhuwah dan membincangkan kerjasama di antara pihak Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan KUISCELL Sdn Bhd.

Perjumpaan tersebut berlangsung di Bilik Mesyuarat, UNISSA, Gadong. KUISCELL Sdn Bhd merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam, Selangor (MAIS). KUISCELL berperanan sebagai pusat kecemerlangan pengajian sepanjang hayat berteraskan Islam yang beroperasi melalui empat cabang utama iaitu bahagian Akademik, Latihan dan Acara, Penerbitan dan juga Produksi.

Semasa perjumpaan itu, Ustaz Don Daniyal serta rombongan dipersembahkan dengan video korporat mengenai sejarah penubuhan awal UNISSA, diikuti dengan ucapan ringkas daripada Dr. Haji Norarfan yang antara lain menyatakan harapan semoga dengan adanya sesi perjumpaan tersebut akan dapat mencapai hasrat daripada kedua-dua belah pihak.

ARTIKEL YANG SAMA