Pendidikan rendah penentu masa depan

Pendidikan rendah penentu masa depan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Pendidikan rendah merupakan komponen penting kepada pendidikan seseorang yang mana perisian, kurikulum dan kegiatan di pendidikan rendah merupakan asas penting kepada pendidikan menengah.

Kepentingannya ditekankan dengan mandat yang diberikan di mana sekurang-kurangnya 90 peratus pelajar mendapat gred A hingga C dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) 2017.

Di samping itu, kajian juga mendapati bahawa pelajar-pelajar yang cemerlang dalam PSR juga mempunyai kemungkinan tinggi untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan CGE ‘O’ Levels.

Oleh itu, dengan situasi keputusan PSR yang berada pada dataran yang sama, ada perlunya untuk menilai usaha-usaha yang dilaksanakan bagi meningkatkan lagi prestasi pelajar-pelajar.

Dalam hubungan itu, sasaran PSR yang ditetapkan pada kadar 74 peratus bagi 2015 dan akan mencapai sasaran 90 peratus pada 2017, rangka kerja pendidikan perlu dikaji dan ditingkatkan untuk meliputi pelaksanaan pelbagai inisiatif baru di peringkat kementerian dan juga peringkat sekolah serta peningkatan kepada program-program sedia ada.

Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa pendidikan rendah memainkan peranan yang penting dalam membentuk serta menjadi asas kepada pendidikan menengah seseorang pelajar itu.
Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa pendidikan rendah memainkan peranan yang penting dalam membentuk serta menjadi asas kepada pendidikan menengah seseorang pelajar itu.

Penekanan itu dibuat oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Abu Bakar bin Haji Apong ketika berucap di Forum Pendidikan Kebangsaan 2015 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Pada masa yang sama, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa pemimpin sekolah serta ahli-ahli pasukan dalam sekolah itu terus memainkan peranan penting dalam merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu peningkatan pencapaian pelajar-pelajar mereka.

Beliau juga berkata bahawa, pada permulaan 2015, untuk membantu memastikan keupayaan murid-murid Tahun 6, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan ujian pemeriksaan setiap dua bulan bermula pada Februari lalu dengan ujian pemeriksaan 1.

Yang Berhormat Pehin mengakui bahawa semua pihak bimbang dengan prestasi pelajar-pelajar semasa ujian itu di mana ia menunjukkan bahawa hanya 4.5 peratus pelajar mendapat gred A hingga C.

Beliau berkata bahawa, pelbagai reaksi hadir daripada keputusan itu dan dengan menilai usaha pengajaran dan pembelajaran, mekanisme sokongan, inisiatif intervensi serta penilaian itu, beberapa bidang untuk diperbaiki telah dikenal pasti.

Dalam hubungan itu, inisiatif-inisiatif telah dipertingkatkan dan dilaksanakan untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar yang mana pada ujian pemeriksaan atau penilaian kedua, mendapati bahawa pencapaian para pelajar telah meningkat 11.63 peratus iaitu daripada 4.5 peratus pada ujian pemeriksaan 1 kepada 16.2 peratus dalam ujian pemeriksaan 2.

Yang Berhormat Pehin menyatakan penghargaan kepada semua guru, pemimpin sekolah dan ketua kluster di atas peningkatan itu termasuk pencapaian yang dibuat oleh Sekolah Rendah Lumut yang mencatatkan peningkatan sebanyak 28.57 peratus daripada ujian pemeriksaan sebelumnya.

Beliau berkata, walaupun sasaran 74 peratus bagi PSR masih lagi belum dicapai tetapi keupayaan para guru iaitu antara ujian pemeriksaan pertama dan ujian pemeriksaan kedua berjaya untuk menunjukkan peningkatan sebanyak 260 peratus, satu petunjuk kepada komitmen, sokongan dan keinginan mereka.

Oleh itu, Yang Berhormat Pehin yakin sasaran yang telah ditetapkan bagi 2015 akan tercapai dan dengan usaha yang ditunjukkan terus dikekalkan, ia mungkin memberikan keputusan yang jauh lebih baik daripada yang disasarkan.

Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai pelbagai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan di sekolah-sekolah oleh para pemimpin dan guru-guru untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar mereka termasuk sokongan daripada ibu bapa dalam sama-sama membantu meningkatkan pencapaian pelajar dan anak-anak mereka.

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga menyatakan penghargaan atas usaha pemimpin-pemimpin sekolah serta ketua-ketua kluster dalam mengambil langkah-langkah yang signifikan untuk memastikan bahawa murid-murid hadir ke sekolah dan membantu murid-murid yang memerlukan bantuan.

Yang Berhormat Pehin berkata bahawa terdapat peningkatan yang signifikan dalam kehadiran pelajar dan dengan usaha yang lebih bersepadu daripada semua pihak, kehadiran pelajar di sekolah-sekolah telah meningkat iaitu tiga daripada enam kluster yang mencapai kadar kehadiran sekurang-kurangnya 95 peratus pada Mac meningkat kepada lima daripada enam kluster mencapai lebih daripada 95 peratus pada April.

Oleh itu, dalam membentuk pelajar-pelajar supaya mereka mencapai masa depan yang cerah, inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, ulas Yang Berhormat Pehin, akan terus dinilai untuk memastikan bahawa ia terus relevan dengan perubahan masa.