Pendidikan tadika penting untuk anak seawal usia

Pendidikan tadika penting untuk anak seawal usia

TAWAU, 15 Nov – Anak-anak seawal usia penting diberikan pendidikan tadika kerana mereka merupakan generasi pewaris kepimpinan negara di masa hadapan, kata Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat Sabah, Datuk Hamisa Samat.

Beliau berkata pelajar tadika merupakan golongan yang mudah dibimbing dan diberi tunjuk ajar mengenai pelbagai ilmu pengetahuan yang berfaedah.

“Ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya…dalam era dunia tanpa sempadan ini, generasi muda perlu berdaya saing tinggi dan ibu bapa serta guru bertanggungjawab untuk memberikan pendidikan secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Graduasi Tabika Perpaduan Daerah Tawau yang turut dihadiri Pegawai JPNIN Bahagian Tawau, Rosma Wadi di sini hari ini.

Pada majlis itu 267 pelajar 14 tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) perbandaran Tawau menerima sijil masing-masing. – Bernama