Pendidikan teknikal bentuk tenaga berkemahiran

Pendidikan teknikal bentuk tenaga berkemahiran

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Nov – Pendidikan teknikal merupakan salah satu faktor yang begitu signifikan dalam melahirkan sumber tenaga kerja yang berkemahiran.

Oleh itu, landasan yang tepat perlu disediakan bagi melahirkan sumber tenaga manusia yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk jangka masa panjang.

Perkara ini ditekankan oleh Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Chin Wei Keh semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Konvokesyen IBTE ke-24 di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menyentuh mengenai transformasi pendidikan teknikal di negara ini, yang menurutnya perubahan itu dijana berdasarkan kehendak sumber tenaga manusia yang lebih responsif kepada pelbagai inisiatif pihak kerajaan dan kolaborasi bersama pihak industri.

Ini adalah bagi menginovasikan pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan tenaga mahir yang bersifat keusahawanan yang diiktiraf oleh industri dan dapat diterima di pasaran kerja.

pg04_161116_a

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat menyampaikan siijl kepada para graduan pada majlis konvokesyen tersebut.
Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat menyampaikan siijl kepada para graduan pada majlis konvokesyen tersebut.

Hasil daripada perlaksanaan Transformasi Pendidikan Teknikal, ujar beliau, pada tahun ini IBTE telah berjaya mencapai beberapa pencapaian utama.

“Salah satu pencapaian yang sangat bermakna yang telah dicapai oleh IBTE adalah penganugerahan sijil ISO9001:2008 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS)”.

Dengan pengiktirafan ini, tambah beliau, menjadikan IBTE sebagai institusi pasca menengah pertama di negara ini yang menerima penganugerahan tersebut di mana beberapa program yang dijalankan di IBTE juga telah menerima pengiktirafan piawaian antarabangsa.

Menurutnya lagi, IBTE pada masa ini sedang dalam proses untuk mendapatkan pengiktirafan piawaian antarabangsa yang lain bagi program yang dijalankan oleh IBTE.

“Pencapaian dalam pengiktirafan piawaian antarabangsa ini akan dapat meningkatkan lagi kepercayaan serta kepuasan pihak industri terhadap kursus-kursus di samping dapat menyejajarkan dengan piawaian industri,” tambahnya.

Manakala dalam bidang kolaborasi dan kerjasama dengan industri, Dr Chin Wei Keh berkata, IBTE telah menandatangani perjanjian dengan 64 buah syarikat di negara ini.

Perjanjian ini, jelas beliau, dapat memberi faedah serta meningkatkan lagi kerjasama dan kolaborasi di antara IBTE dengan pihak industri khususnya untuk berkongsi maklumat serta bahan-bahan pendidikan dan latihan.

Beliau seterusnya menegaskan komitmen IBTE untuk memastikan persekitaran latihan adalah relevan, sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan memenuhi keperluan industri.

Di samping itu, IBTE juga telah dan sedang melaksanakan beberapa inisiatif bagi menaik taraf persekitaran latihan supaya lebih kondusif dan selaras dengan perubahan kurikulum.

“Ini lebih menjurus kepada kaedah latihan ‘competency-based’, ‘hands-on’ dan berorientasikan praktikal,” tambahnya.

Hasil daripada inisiatif ini, beberapa buah pusat pembelajaran autentik telah dan sedang serta akan ditubuhkan di kampus-kampus IBTE yang antaranya rangkaian makmal bagi Program ICT di IBTE Kampus Jefri Bolkiah dan loji mini bagi Program Tenaga dan Kejuruteraan di IBTE Kampus Jefri Bolkiah.

Antara para graduan yang menerima sijil mereka pada majlis konvokesyen tersebut.
Antara para graduan yang menerima sijil mereka pada majlis konvokesyen tersebut.

Dalam usaha bagi menyediakan latihan dan memberikan kemahiran kepada orang ramai khususnya para belia tempatan, jelasnya, IBTE melalui Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan telah membuat perancangan strategik bagi membolehkan orang ramai untuk mengikuti kursus yang berkesan dan bermanfaat bukan saja kepada pelajar tapi kepada majikan-majikan.

Pelbagai program berbentuk kursus pendek telah ditawarkan dan diperkenalkan melalui kursus-kursus di bawah Pendidikan Lanjutan dan Latihan IBTE.

Jelasnya, program ini diperkenalkan untuk memberi peluang kepada orang ramai meningkatkan kemahiran dan pencapaian akademik secara pembelajaran sepanjang hayat, di samping terdapat juga nilai-nilai keusahawanan yang diserapkan dalam kursus-kursus yang dijalankan.

Sementara itu, menyentuh mengenai kadar kebolehpasaran kerja graduan-graduan IBTE, beliau berkata, hasil daripada kajian Pengesanan Graduan iaitu peratusan graduan yang bekerja enam bulan selepas konvokesyen dari IBTE, Bahagian Penyelidikan dan Statistik IBTE pada bulan September 2016, menunjukkan peningkatan 74.5 peratus graduan berjaya mendapat pekerjaan berbanding pada tahun 2013 hanya 63.8 peratus saja.

Daripada jumlah peratus tersebut, sebanyak 11 peratus bekerja di sektor kerajaan manakala 86.5 peratus di sektor swasta.

Manakala itu, 74.8 peratus telah mendapat pekerjaan yang bersesuaian dengan program yang mereka ikuti iaitu ‘job relevant’ dibandingkan 65 peratus pada tahun 2013.

“Selain itu, hasil kajian Kepuasan Majikan iaitu peratusan majikan yang berpuas hati dengan nilai pekerjaan dan prestasi graduan IBTE setahun selepas konvokesyen yang dikeluarkan pada Mei 2016, mendapati secara keseluruhan 91 peratus majikan berpuas hati dengan nilai pekerjaan dan prestasi pelajar lepasan IBTE di bawah pengawasan mereka,” tambahnya.

ARTIKEL YANG SAMA