Pendidikan usuluddin nadi kesejahteraan ummah

Pendidikan usuluddin nadi kesejahteraan ummah

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Usuluddin memainkan peranan utama dalam pendidikan sahsiah seseorang Muslim dan dalam waktu yang sama berperanan mengawal tingkah lakunya menurut ajaran-ajaran Islam yang benar.

Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Datu Imam Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal menjelaskan, usuluddin membawa erti asas-asas atau sendi-sendi agama dan agama dari segi bahasa ialah sesuatu yang ditaati.

Manakala itu, dari segi istilah, ia adalah suatu peraturan Allah S.W.T yang mengajak setiap orang yang berakal sihat untuk menerima segala peraturan yang dibawa oleh Rasul atau utusan Allah dalam mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Yang Berhormat Pehin menjelaskan pengertian ini semasa membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Pendidikan Usuluddin Nadi Kesejahteraan Ummah’ pada Majlis Perasmian Seminar Antarabangsa Pendidikan Usuluddin 2016 yang berlangsung di Dewan Tarbiyyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Hamid semasa membentangkan Kertas Perdana beliau.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Abdul Hamid semasa membentangkan Kertas Perdana beliau.

Menjelaskan mengenai perkembangkan ilmu Usuluddin, beliau berkata, pada zaman-zaman permulaan Islam, khasnya sebelum ‘Asruttadwin, semua ilmu syariat dinamakan ilmu Islam termasuklah ilmu mengenai akidah yang semuanya digali daripada Al-Quran dan Sunnah.

Ilmu Aqidah, jelas Yang Berhormat Pehin juga dinamakan sebagai ilmu Usuluddin kerana penumpuan kajiannya kepada perkara-perkara aqidah termasuk kaedah-kaedah bagi menentukan sahih atau tidaknya aqidah seseorang

“Akhirnya ilmu tersebut dinamakan Ilmu Tauhid kerana penumpuan kajiannya kepada perkara-perkara pentauhidan Allah S.W.T dari segi zat-Nya, dari segi sifat-Nya, dan dari segi perbuatan-Nya dan lain-lain.”

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, dalam Al-Quran, banyak diceritakan tentang dakwah rasul-rasul dari sejak Nabi Adam hingga Nabi Muhammad S.A.W yang menyeru kaum masing-masing kepada tauhid.

Dalam kertas perdana itu, Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai bangsa Arab di Jazirah ‘Arabiyyah di mana sesudah beberapa abad setelah zaman Nabi Ibrahim a.s bangsa Arab semakin jauh menyimpang daripada agama Hanif, sama ada daripada segi akidah mahupun amalan beragama.

Dalam era Rasulullah S.A.W pula, semasa di Mekah, bermula daripada dakwah sirriyah di rumah Al-Arqam bin Abil-Arqam di Safa’ Mekah, penekanan utama dakwah adalah memperkukuh aqidah para sahabat dengan tauhid dan pembanterasan akidah syirik.

Pada masa itu, ujar Yang beliau, Rasulullah telah mendidik para sahabat al-awwaluun dengan tazkiratun-nafs (pembersihan jiwa) menerusi anjuran-anjuran Al-Quran.

Selain itu, Rasulullah S.A.W juga tidak mengabaikan pendidikan akal para sahabatnya dan turut menekankan pendidikan para sahabatnya dari segi jasmani berdasarkan petunjuk Al-Quran.

Kesimpulannya, pendidikan Islam yang bermula dengan pendidikan Usuluddin kemudian dikenali dengan nama tauhid dan diterapkan oleh Rasulullah saw kepada para sahabat terutama sahabat al-awwaluun terbukti telah menjadikan mereka teguh, beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

Yang Berhormat Pehin berkata, pada hematnya, penerapan ilmu Tauhid kepada para pelajar menurut kesesuaian peringkat umur adalah amat penting dalam melahirkan generasi beriman, bertakwa dan berakhlak mulia yang boleh menjanjikan kesinambungan hidup aman, tenteram dan selamat di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA