Pendigitalan perlu penyelarasan

Pendigitalan perlu penyelarasan

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S

Gambar Siti Nur Wasimah S

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Pendigitalan beransur-ansur menyaksikan evolusi signifikan dan cabaran kepada dasar penyiaran dan industri teknologi yang mana perkembangan platform pelbagai penyampaian membawa kesan ketara kepada pengagihan kandungan dan maklumat sekali gus menjadi satu peluang kepada penyiar.

Kesediaan platform pelbagai ini seharusnya diguna pakai untuk memaklumkan orang ramai dan merapatkan jurang bagi usaha pembangunan, serta menyatupadukan dan memantapkan lagi komuniti ASEAN.

Kepelbagaian platform agihan maklumat ini disentuh oleh Setiausaha Tetap (Media dan Kabinet) di Jabatan Perdana Menteri Haji Mohd Rozan bin Dato Haji Mohd Yunos semasa merasmikan Mesyuarat Pertama Kumpulan Kerja Penyiaran Digital Pegawai-pegawai Kanan ASEAN Yang Bertanggungjawab Bagi Penerangan yang dihadiri delegasi dari negara-negara Asia Tenggara di Hotel Plaza Kiulap, hari ini.

Menurut Haji Mohd Rozan lagi, media baru seperti telefon bimbit dan TV pintar, Internet dan pelbagai aplikasi media bagaimanapun menimbulkan sedikit kebimbangan bagi penyiar untuk mengkaji semula strategi dengan pihak berkuasa dan rakan dialog dan perlukan penyelarasan semua pihak.

Beliau seterusnya berkata, “Mesyuarat SOMRI ini memfokuskan kepada beberapa perkara antaranya meneliti dan merekomen dasar, pengawal seliaan dan piawaian bagi penyiaran digital ASEAN selain menyelaras dengan sektor yang berkaitan dengan frekuensi radio untuk penyiaran digital.

Haji Mohd Rozan bergambar ramai bersama para delegasi dari negara-negara Asia Tenggara di mesyuarat itu.
Haji Mohd Rozan bergambar ramai bersama para delegasi dari negara-negara Asia Tenggara di mesyuarat itu.

Di samping itu mesyuarat ini juga memberi peluang delegasi untuk bertukar pandangan dan berkongsi amalan terbaik dalam strategi penyiaran digital.

Menurutnya lagi, tiga kumpulan kerja telah dibentuk untuk meneliti dan menganalisis isu khusus serta menyediakan rekomendasi inisiatif, program dan projek strategik dalam sektor media dan penerangan.

Kumpulan kerja tersebut merangkumi Penyiaran Digital ASEAN (ADB), Penerangan, Media dan Latihan, Perisian dan Penerbitan, tambahnya.

Inisiatif kerjasama ADB telah menandakan pencapaian penting antaranya Menteri-menteri ASEAN Bertanggungjawab bagi Penerangan (AMRI) yang telah menyokong garis panduan untuk Peralihan Digital ASEAN sebagai pelan tindakan untuk membantu semua negara-negara anggota dalam peralihan selain penubuhan ASO garis masa antara 2015-2020 dalam ASEAN.

Menurut beliau lagi, tahun 2015 adalah tahun yang sangat signifikan bagi ADB di mana tahun ini menandakan permulaan ASO garis masa direalisasikan di mana tahun ini dan lima tahun akan datang juga merupakan masa yang paling mencabar untuk memastikan matlamat untuk berhijrah sepenuhnya kepada digital penyiaran televisyen terestrial.

“Perkembangan pesat teknologi digital dan kemudahan telah membuka cara untuk mengurangkan kos pengeluaran program dan yang lebih penting untuk meningkatkan kreativiti dan inovasi dalam pengeluaran digital,” tambahnya.

Beliau seterusnya menyeru kepada semua yang terlibat dalam mesyuarat ini untuk mengambil peluang pengetahuan bagi meneroka manfaat dan prospeknya selain percaya ini merupakan peluang baik untuk semua ahli negara anggota ASEAN meneroka penyiaran radio digital yang telah banyak mencapai kejayaan dengan digital penyiaran televisyen terestrial.

“Teknologi Radio digital merupakan salah satu cara yang cepat diterima di samping ia murah untuk penyiar menarik penonton seterusnya untuk merealisasikan Pelan Induk komunikasi ASEAN iaitu ASEAN:Satu Komuniti Satu Peluang.”

Mesyuarat yang berlangsung sehingga 5 Ogos 2015 itu dipengerusikan oleh Pengarah Radio Televisyen Brunei Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu dan pada mesyuarat itu juga diadakan sesi perkongsian maklumat dari industri penyiaran terkemuka mengenai penyiaran radio digital dan teknologi audio.

ARTIKEL YANG SAMA