Pendorong untuk terus berkhidmat

Pendorong untuk terus berkhidmat

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Syukur Alhamdulillah, itulah yang diluahkan oleh rata-rata penerima Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ketika ditemui selepas majlis pengurniaan di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman, hari ini.

Salah seorang penerima Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K), Hajah Jauyah binti Datu Kerna Haji Jaya berkata, untuk mendapat sesuatu seperti ini, kita perlu membuat komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan.

“Prestasinya juga kita sentiasa jaga dan tingkatkan, serta benar-benar berdedikasi tanpa mengira waktu tambahan bagi bekerja di bahagian berita,” ujar beliau yang telah berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejak awal kerjayanya sebagai seorang juru hebah pada tahun 1979 hinggalah sekarang di bahagian penyuntingan berita di Radio Televisyen Brunei (RTB).

Dalam kesempatan itu, beliau juga menyeru warga kerja sama ada di sektor kerajaan ataupun swasta supaya benar-benar dedikasi terhadap kerja, komited, dan sayang kepada pekerjaan yang dilakukan, serta bersemangat untuk memperbaiki diri kerana kualiti kerja itu adalah penting.

“Kita juga perlu mencari kepuasan terhadap kerja yang kita telah lakukan. Apabila kita melihat kerja yang kita lakukan itu mempunyai kualiti, kita sendiri pun berpuas hati walaupun dalam keadaan yang letih.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Pingat di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ketika berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Pingat di Balai Singgahsana Indera Kencana, Istana Nurul Iman.

“Kita juga perlu kreatif dan dinamik dalam pekerjaan yang dilakukan. Ini sebagai motivasi kepada generasi muda dan juga kepada anak-anak supaya kita sebagai orang tua mereka dapat menjadi ‘role model’ bagi mereka, supaya ini sebagai cabaran kepada mereka agar mereka akan dapat melakukan yang lebih baik lagi memandangkan teknologi pada masa sekarang juga sudah senang dan banyak,” tambah beliau lagi.

Manakala itu, bagi seorang guru di bawah Jabatan Pengajian Islam, Hajah Bariah binti Haji Mohd Yazid yang telah menerima Pingat Indah Kerja Baik (P.I.K.B), dengan pengurniaan pingat itu membuatkan beliau berasa amat dihargai setelah memberikan yang terbaik dalam pekerjaan.

Beliau yang pada masa ini mengajar di Sekolah Ugama Antarabangsa Jerudong, juga berkongsi pengalaman kerjanya memang ada pahit manis.

“Namun yang penting adalah manisnya iaitu apabila melihat kejayaan yang anak murid peroleh dan saya juga berpuas hati terhadap kemudahan yang ada di tempat sekolah saya mengajar pada ketika ini, ianya sangat bagus dan sangat memuaskan.”

Datin Hajah Rumiyati dan Hajah Norimah yang bekerja di Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam juga turut menerima P.I.K.B.
Datin Hajah Rumiyati dan Hajah Norimah yang bekerja di Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam juga turut menerima P.I.K.B.
Penolong Juru Audit di Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hamidah binti Haji Ibrahim (kiri), yang telah menerima P.I.K.B, menyatakan rasa gembira dan bersyukur serta menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan P.J.K.
Penolong Juru Audit di Jabatan Audit, Jabatan Perdana Menteri, Dayang Hamidah binti Haji Ibrahim (kiri), yang telah menerima P.I.K.B, menyatakan rasa gembira dan bersyukur serta menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia atas pengurniaan P.J.K.
Warga Kementerian Pertahanan, Hajah Rabiah (kanan) bersama rakannya pada majlis pengurniaan pingat berkenaan.
Warga Kementerian Pertahanan, Hajah Rabiah (kanan) bersama rakannya pada majlis pengurniaan pingat berkenaan.

Seorang lagi penerima P.I.K.B, Haji Muhammad Ibrahim bin Haji Jumaat yang mula berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sejak tahun 2002, pula menyatakan bahawa dengan pingat yang diterima itu memberikan beliau semangat dalam kerja untuk lebih berkhidmat kepada orang ramai sebagai warga perkhidmatan awam Negara Brunei Darussalam.

Beliau yang bekerja sebagai Pegawai Pentadbir Tingkat Khas, Kementerian Hal Ehwal Ugama, menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas pengurniaan P.I.K.B dan berjanji akan meningkatkan lagi mutu kerja beliau ke tingkat yang lebih baik.

Sementara itu, warga Kementerian Pertahanan, Hajah Rabiah binti Haji Chuchu yang berusia 53 tahun pula meluahkan perasaan berpuas hati kerana telah menerima P.I.K.B.

“Alhamdulillah, berasa bersyukur mendapat pengurniaan pingat walau di usia begini, sedikit sebanyak dapat jua menyumbangkan bakti kepada kerajaan Kebawah Duli.

“Dengan menerima pingat ini juga, adalah sesuatu yang dapat dikenang dan dirista ke anak cucu serta generasi yang akan datang,” ujarnya.

Hajah Jauyah, salah seorang penerima P.J.K.
Hajah Jauyah, salah seorang penerima P.J.K.
Hajah Bariah turut hadir ke Istana Nurul Iman bagi menerima P.I.K.B.
Hajah Bariah turut hadir ke Istana Nurul Iman bagi menerima P.I.K.B.
Haji Muhammad Ibrahim ketika ditemui Media Permata pada Majlis Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam.
Haji Muhammad Ibrahim ketika ditemui Media Permata pada Majlis Pengurniaan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam.

Ketika berkongsi pengalaman berkhidmat di sektor kerajaan, beliau yang bekerja sebagai pembantu kerani berkata banyak pengalaman yang telah dilalui walaupun ada kesulitan yang dihadapi sewaktu bekerja, “namun kesulitan tersebut selalu dibantu oleh pegawai-pegawai yang sangat prihatin kepada kakitangannya”.

Dua lagi penerima pingat yang sempat ditemui ialah warga Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Datin Hajah Rumiyati binti Haji Mohd Nor dan Hajah Norimah binti Haji Abdul Hamid.

“Alhamdulillah, semampunya kami memberikan kerjasama kepada guru-guru kerana kami memang bekerja berkaitan dengan guru-guru. Dan kalau guru-guru ada terdapat masalah, kami menangani dengan sebaiknya,” ujar Datin Hajah Rumiyati.

Manakala Hajah Norimah pula melahirkan harapan agar pingat yang diterima itu menjadi pendorong untuk terus berkhidmat dengan lebih baik lagi pada masa akan datang.

Menyentuh mengenai pengalaman mereka, kedua-duanya mula bekerja sebagai guru dan kini bekerja di Bahagian Kurikulum yang menurut mereka, juga telah memberikan pengetahuan yang luas sebagai penjawat awam.

ARTIKEL YANG SAMA