Penduduk bimbang kehadiran anjing liar

Penduduk bimbang kehadiran anjing liar

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Ogos – Penduduk di kawasan perumahan Kampung Pandan telah melahirkan kebimbangan dengan kehadiran anjing-anjing liar, yang ada antaranya sakit, serta berkeliaran di kawasan halaman rumah mereka.

Beberapa penduduk di sana berkata, kehadiran anjing itu memang menyebabkan ketidakselesaan bagi mereka, lebih-lebih lagi setelah didapati kadang-kadang anjing sakit terbaring di kawasan bawah rumah dan di atas simen rumah mereka.

Menurut mereka, kawasan perumahan tidak mempunyai pagar, dan anjing-anjing itu bebas memasuki kawasan halaman rumah, sehingga kadang-kadang di sebelah malam kedengaran bunyi salakan anjing seperti berkumpul di persekitaran kawasan mereka.

Sebahagiannya pula mendakwa, terdapat juga anjing-anjing liar itu sampai naik ke tangga rumah mereka terutamanya pada waktu malam, dan ia tidak sepatutnya terjadi terutama di kawasan perumahan orang-orang Melayu yang sememangnya tiada memelihara anjing.

Sementara itu, salah seorang penduduk di sini, sempat menangkap gambar seekor anjing berkurap yang duduk bersandar di tepi dinding rumahnya.

Anjing liar yang berkeliaran sempat digambar oleh salah seorang penduduk di kawasan perumahan kampung Pandan, dan didapati dijangkiti penyakit kurap.
Anjing liar yang berkeliaran sempat digambar oleh salah seorang penduduk di kawasan perumahan kampung Pandan, dan didapati dijangkiti penyakit kurap.

Menurutnya setelah mendapati kejadian itu, ia benar-benar membimbangkan mereka sekeluarga, kerana kawasan itu kadang-kadang merupakan tempat anak dan cucunya bermain, tanpa disedari ia dicemari oleh kunjungan anjing liar dan sakit.

Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dalam memorandum yang dikeluarkan baru-baru ini menyatakan, menurut Akta Anjing Bab 60 Seksyen 5(2), Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria akan terus mengambil tindakan yang difikirkan sesuai ke atas anjing-anjing tanpa pemilik termasuk anjing yang tidak berdaftar dan tidak mempunyai tanda tag yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut.

Jabatan itu juga menyatakan, mereka menyediakan talian hotline 3330780 jika terdapat sebarang pertanyaan atau berdepan gangguan disebabkan oleh anjing-anjing di kawasan bidang kuasa jabatan itu.

Dalam memorandum juga menyatakan bahawa pemilik anjing perlu mendaftarkan anjing yang dimiliki ke Jabatan Bandaran, sejak berusia tiga bulan ke atas dan tertakluk kepada pembaharuan lesen, sebelum 1 Februari setiap tahun sehingga lesen mansuh.

Memorandum yang dikeluarkan pada 30 Mac lalu itu turut menyatakan anjing berdaftar mesti mempunyai tag khas yang dikeluarkan oleh jabatan dan perlu dipasang pada anjing peliharaan setiap masa dan pemilik juga perlu mengikat atau mengurung haiwan berkenaan di dalam kawasan premis mereka.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan kampung berkenaan menyatakan harapan supaya tindakan menghapuskan anjing-anjing liar akan dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa, ia adalah bagi mengawal keselamatan dan kesihatan penduduk juga, terutamanya dikhuatiri akan jangkitan penyakit melalui anjing-anjing sakit tetapi masih hidup terbiar, dan merayau-rayau di kawasan perumahan awam.

ARTIKEL YANG SAMA