Penduduk bimbang kehadiran ‘tamu tidak diundang’

Penduduk bimbang kehadiran ‘tamu tidak diundang’

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 1 Jan – Seorang penduduk di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Pandan 7 telah menerima tetamu yang tidak diundang pada hari pertama tahun baru ini apabila seekor buaya besar dilihat dalam longkang di tepi kawasan rumahnya.

Kira-kira pukul 9:30 pagi tadi, penduduk yang enggan disiarkan namanya itu memberitahu Media Permata, beliau telah melihat buaya kira-kira empat kaki itu ketika mengemas halaman rumahnya, setelah pembantu rumahnya menjerit-jerit memanggilnya.

“Saya agak terperanjat, menyangka sesuatu telah berlaku ke atas pembantu rumah saya, rupa-rupanya dia yang dalam keadaan panik memberitahu melihat seekor buaya besar di dalam longkang dekat rumah kami,” katanya.

Beliau yang segera bergegas ke tempat yang dikatakan melihat buaya berkenaan tidak bergerak di dalam longkang besar berkenaan, yang berdekatan dengan kawasan orang berjoging setiap pagi dan petang.

“Saya memerhatikan buaya itu kira-kira selama 15 minit, dia tetap berdiam diri, tetapi tiba-tiba seorang lelaki warga asing, melintasi kawasan longkang itu, lalu buaya itu, berlari menuju ke arah sarangnya dalam terowong longkang besar,” tambahnya.

Seekor buaya dilihat dalam sebuah parit berdekatan rumah penduduk RPN Kampung Pandan 7 kelmarin.
Seekor buaya dilihat dalam sebuah parit berdekatan rumah penduduk RPN Kampung Pandan 7 kelmarin.

Dengan kejadian itu, beliau dan keluarga juga merasa gusar, kerana buaya sudah berani naik ke kawasan darat, iaitu di dalam longkang yang berdekatan dengan kediaman penduduk kampung, kebimbangan turut dirasakan atas keselamatan kanak-kanak jika bermain di persekitaran rumah mereka, termasuklah di kawasan yang rumputnya tinggi, dan agak terbiar untuk beberapa bulan sebelum ianya dipotong.

Minggu lalu disiarkan berita seorang penduduk kampung yang sama nyaris dibaham buaya semasa sedang membuat kerja mencabut rumput di belakang rumahnya yang berdekatan dengan sistem perparitan.

Sementara itu, beberapa hari lalu, seorang penduduk di kawasan RPN Kampung Pandan 7 juga mendakwa menemui ular besar dalam stor rumahnya, dan telah menghubungi pihak bomba, bagaimanapun ular tersebut gagal ditemukan, dan wanita itu mendakwa, sudah beberapa bulan rumput di belakang rumahnya belum dipotong oleh pihak berkenaan.

Sejak beberapa bulan kebelakangan, kelihatan rumput-rumput tumbuh tinggi di banyak kawasan RPN Kampung Pandan, termasuk kawasan bahu jalan, kawasan pejalan kaki dan berjoging di Taman Lagun, kawasan jalan keliling di kampung berkenaan dan kawasan-kawasan sistem perparitan kampung.

ARTIKEL YANG SAMA