Penduduk Chile masih trauma

Penduduk Chile masih trauma

COQUIMBO, Chile, 18 Sept (AFP) – Beratus-ratus penduduk Chile yang dalam keadaan trauma berada di tempat terbuka bagi malam kedua atau di tempat perlindungan malam semalam selepas gempa bumi luar pesisir dengan 8.3 magnitud mengakibatkan 12 orang terkorban.

Di bandar pantai Coquimbo, sentakan bumi di negara ini yang cenderung dilanda gempa bumi adalah jelas dan hodoh: bot menangkap ikan, sisa-sisa rumah, lori, gerai penjaja dan kereta yang bercampur aduk dihanyutkan oleh gelombang tsunami menunjukkan bukti keberangan laut.

Maria Zamorano, 60 tahun menceritakan bagaimana dia dan keluarga besarnya berlari dari pinggir pantai untuk menyelamatkan diri mereka dari ombak yang semakin meluru.

“Jika kami tetap di sini kami akan terkorban,” dia memberitahu AFP, ketika orang ramai perlahan-lahan dan berhati-hati kembali untuk melihat apa yang tinggal dari rumah mereka. Bandar itu terletak 400 km utara bandar Santiago.

Gempa bumi pada petang Rabu adalah keenam terkuat dalam sejarah Chile dan paling kuat di dunia tahun ini, kata para pegawai.

Sebuah bot nelayan yang terdampar setelah dihanyutkan oleh ombak tsunami di pelabuhan Coquimbo, kira-kira 445km utara Santiago. – AFP
Sebuah bot nelayan yang terdampar setelah dihanyutkan oleh ombak tsunami di pelabuhan Coquimbo, kira-kira 445km utara Santiago. – AFP

Hampir sejuta orang dipindahkan dari kawasan pantai Pasifik sebagai langkah awal berjaga-jaga ketika Chile membunyikan amaran tsunami, dengan amaran dikeluarkan sejauh-jauhnya Jepun dan New Zealand.

Tetapi sehingga semalam, kebanyakan penduduk Chile yang dipindahkan telah pulang ke rumah.

Menteri Dalam Negeri Jorge Burgos berkata kira-kira 600 orang masih berada di tempat perlindungan atau di tempat lain dan kira-kira 650 buah rumah telah musnah, terutamanya di Cocquimbo.

Gempa bumi berlaku pada kedalaman cetek dan pusat gempa ialah 228 kilometer utara bandar Santiago, sebuah bandar yang mempunyai 6.6 juta orang, yang mana di situ berlaku hiruk pikuk ketika beribu-ribu orang melarikan diri dari bangunan yang tengah bergoyang-goyang.

Dalam tempoh beberapa jam kemudian, ombak tsunami setinggi 4.5 meter muncul melanda darat di rantau Coquimbo, yang mengakibatkan kerosakan teruk pada pelabuhan rantau itu. Lapan dari 12 orang mangsa berada di Coquimbo.

Kemusnahan juga berselerak di bandar pantai Illapel yang teruk terjejas, di selatan jauh. “Ia adalah mimpi ngeri,” Maria Ramirez memberitahu AFP ketika dia menyapu serpihan-serpihan di luar rumahnya.

“Kami merasakan gegaran bagi tempoh lama, terlalu lama. Dan kemudian berlaku kejutan lanjur – ia dahsyat. Saya tidak dapat terus berdiri, tetapi nasib baik kami masih hidup.”

Presiden Michelle Bachelet menziarahi kawasan yang dilanda gempa untuk meninjau usaha menyelamat dan Setiausaha Negara John Kerry mengatakan Amerika Syarikat sedia untuk membantu.