Penduduk Daerah Tutong kagum kewibawaan KDYMM

Penduduk Daerah Tutong kagum kewibawaan KDYMM

Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D & Sim Y.H

 

TUTONG, 19 Julai – Sebagai tanda kasih terhadap raja yang disanjungi dan dikasihi, pelbagai pihak tidak melepaskan peluang untuk menyembahkan pesambah ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong, di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, hari ini.

Pada majlis itu, lima pesambah telah disembahkan ke hadapan majlis Baginda Sultan iaitu daripada Masyarakat Tiong Hua, dewan perniagaan, peniaga dan bank, pihak persendirian, dan juga dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Tutong.

Salah seorang guru dari Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Dayang Mimi Farayahidah berkata, pesambah yang mereka persembahkan adalah berupa sebuah Potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dilukis dengan menggunakan Lukisan Digital melalui aplikasi komputer.

“Kami sangat berbangga menjadi rakyat Negara Brunei Darussalam dan berazam akan mencurahkan bakti untuk membangunkan bangsa dan negara pada masa akan datang. Pada hari ini, kami juga cukup berbangga kerana dapat memberi pesambah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” ujar beliau.

Menurut beliau lagi, pada majlis itu, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah turut mengadakan pameran untuk disembahkan ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang mengetengahkan mengenai salah satu cara pembelajaran Melayu Islam Beraja (MIB) dengan mengadakan Kelab Berdudun secara praktikal, seperti membuat kueh tradisional, kraf tangan, dan sebagainya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan dijunjung memotong kek puja usia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan dijunjung memotong kek puja usia.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung menandatangani lembaran kenang-kenangan.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung menandatangani lembaran kenang-kenangan.

pg04_160720_f

Baginda Sultan berkenan berangkat ke pameran Kelab Berdudun, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong.
Baginda Sultan berkenan berangkat ke pameran Kelab Berdudun, Sekolah Menengah Sufri Bolkiah Tutong.

Manakala itu, seorang penduduk dari Kampung Sinaut, Tutong, Haji Sigai bin Haji Ghani pula menyembahkan pantun khas yang berbunyi ‘Ciri Labu tandanya Bunga Manggis, berada di katil buloh bedaun, Negara Brunei di pandang manis, Raja Adil usia Baginda ke-70 tahun’ di samping menyembahkan sebuah Cerek Antik Tembaga sebagai pesambah.

Semasa ditemui pada majlis itu, Haji Sigai turut menjunjung kasih dan menyembahkan rasa kesyukuran atas kebarangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bercemar duli ke Daerah Tutong bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah yang sangat-sangat dinantikan itu.

Sementara itu, beberapa orang penduduk yang ditemui melahirkan perasaan gembira mereka, yang menggambarkan keceriaan majlis berkenaan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Salah seorang daripadanya, Dayang Azizah binti Haji Jimin dari Kampung Pengkalan Mau, Kiudang, berkata bahawa keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terserlah bukan saja pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah berkenaan tetapi dalam apa jua majlis sekalipun.

Dewan Perniagaan India menyembahkan pesambah yang berupa bekas emas wangian Oud.
Dewan Perniagaan India menyembahkan pesambah yang berupa bekas emas wangian Oud.
Cityneon menyembahkan pesambah sebuah potret Dirgahayu Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke 70-tahun.
Cityneon menyembahkan pesambah sebuah potret Dirgahayu Puja Usia Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke 70-tahun.
Haji Sigai menyembahkan pesambah berupa Ciri Labu, iaitu sebuah Cerek Antik Tembaga.
Haji Sigai menyembahkan pesambah berupa Ciri Labu, iaitu sebuah Cerek Antik Tembaga.
Dayang Mimi, guru Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, menyembahkan pesambah sebuah Potret kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dihasilkan mengunakan Applikasi Komputer.
Dayang Mimi, guru Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, menyembahkan pesambah sebuah Potret kebawah Duli Yang Maha Mulia yang dihasilkan mengunakan Applikasi Komputer.

Beliau berkata, walaupun hujan lebat turun, namun Baginda masih berkenan turun ke lapangan bagi beramah mesra secara dekat bersama penduduk di Daerah Tutong yang jelas menunjukkan keprihatinan Baginda terhadap rakyatnya.

“Pastinya rakyat dan penduduk di Daerah Tutong berasa sangat tersentuh dan rasa bangga mempunyai raja yang berjiwa rakyat. Ini membuatkan raja sentiasa di hati kami,” ujar beliau.

Dayang Norsiah binti Sulaiman, jemputan bekas kakitangan kerajaan di Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Tutong pula berkata, keadaannya yang kurang upaya tidak mematahkan semangatnya untuk berjumpa dengan raja yang berjiwa rakyat, pengasih dan berwibawa.

Beliau juga menyembahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun ke-70 tahun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mendoakan semoga Baginda dilanjutkan usia, dilimpahkan rezeki yang luas, hidup sejahtera dan sentiasa dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata’ala (S.W.T) untuk terus memerintah Negara Brunei Darussalam.