Penduduk diberi amaran jauhi letusan gunung berapi

TOKYO, 11 Okt – Gunung Shinmoedake di selatan Jepun meletus buat pertama kalinya dalam masa enam tahun hari ini, menyemburkan gumpalan abu ratusan meter ke udara dan mencetuskan amaran kepada penduduk tempatan.

Penduduk telah diarahkan untuk menjauhi gunung berapi itu selepas ia mula aktif pada jam 5:34 pagi (2034 GMT Selasa) ketika Agensi Meteorologi Jepun berkata ledakan ke udara disebabkan letusan itu boleh memecahkan tingkap-tingkap.

“Kepulan abu mencecah ketinggian 300 meter (1,000 kaki) apabila gunung berapi itu meletus,” kata pegawai agensi memberitahu AFP, menambah bahawa letusan itu akan berterusan dan ‘menjadi lebih aktif’.

Deposit abu boleh merebak sejauh dua kilometer dari kawah, agensi itu memberi amaran.

Pihak berkuasa meningkatkan amarannya ke tahap tiga, bermaksud penduduk tempatan perlu menjauhi gunung berapi berkenaan. Mereka mengesan 90 gegaran kecil pada 5 Oktober berhampiran pergunungan itu, yang pernah dipromosikan dalam filem James Bond 1967 ‘You Only Live Twice’. – AFP