Penduduk Islam Pattani solat hajat untuk penduduk Rohingya

Penduduk Islam Pattani solat hajat untuk penduduk Rohingya

PATTANI, 25 Nov – Kira-kira 5,000 umat Islam di sini menunaikan solat Jumaat dengan bacaan qunut Nazilah serta solat hajat bagi mendoakan agar kekejaman terhadap penduduk minoriti Islam Rohingya di Rakhine, Myanmar, dihentikan.

Solat hajat di Masjid Jamek Pattani itu diimamkan oleh Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani, Waederamae Matmingchik.

Selepas selesai solat hajat itu, penganjur mengeluarkan kenyataan meminta keganasan terhadap umat Islam Rohingya itu dihentikan dan meminta mereka diberikan kerakyatan oleh kerajaan Myanmar.

Kenyataan itu juga mahukan ASEAN memainkan peranannya dalam menyelesaikan pertumpahan darah di Myanmar itu dengan cepat bagi mengelak isu itu dieksploitasi oleh kumpulan ekstremis.

Ratusan penduduk Rohingya di wilayah Rakhine didakwa menjadi mangsa keganasan pihak berkuasa sejak kebelakangan ini. – Bernama

Waederamae Matmingcik membacakan kenyataan meminta kekejaman terhadap penduduk Rohingya di Myanmar dihentikan selepas selesai Solat Hajat di Masjid Jamek Pattani, kelmarin. – Gambar oleh Tuwedaniya Meringging