Penduduk kampung diseru sama-sama berwaspada

Penduduk kampung diseru sama-sama berwaspada

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 21 Jan – Sebagai usaha berterusan bagi mencegah aktiviti jenayah dan memastikan keselamatan serta ketenteraman kampung dan mukim di Daerah Belait, Balai Polis Seria telah menjalankan Operasi Rondaan Pencegahan Jenayah bersama Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Panaga 2000, malam tadi.

Seramai 10 anggota polis dan 20 orang ahli pengawasan kejiranan menyertai operasi yang bermula dari jam 9:30 malam hingga 11:30 malam itu, dengan membuat rondaan di beberapa kawasan sekitar Perumahan Kampung Panaga 2000 serta sekatan jalan raya di kawasan Jalan Tengah Panaga Seria.

Operasi diketuai oleh Pegawai Penolong Penguasa Balai Polis Seria P/ASP Haji Mohd Helmi bin Haji Abdullah.

Turut hadir ialah Pengerusi Pengawasan Kejiranan RPN Kampung Panaga, Haji Hassan bin Tuah dan juga Timbalan Pengerusi, Awang Zaleha bin Lahap.

Dalam operasi itu, jendela sebuah rumah ada yang tidak bertutup, cermin pintu kenderaan yang diletakkan di garaj masih terbuka tetapi pemiliknya tidak ada dan ada juga beberapa orang kanak-kanak serta remaja didapati melepak dan berkumpul di tempat yang bukan sepatutnya mereka berada waktu malam hari.

Justeru itu, penduduk kampung diseru agar sama-sama memastikan tingkap dan kenderaan ditutup serta dikunci pada waktu malam kerana perkara seumpama itu boleh mengundang jenayah pecah rumah dan curi.

Sementara itu, semasa sekatan jalan raya dijalankan, seramai 13 orang pemandu telah dikeluarkan surat Peringatan Polis 190, kerana tidak membawa lesen memandu dan diarahkan datang ke Balai Polis Seria dalam tempoh tujuh hari bagi menunjukkan lesen memandu dan dokumen-dokumen kenderaan.

Menurut Pasukan Polis Diraja Brunei, tujuan utama operasi itu adalah untuk memata-matai keselamatan jiran dan penduduk kampung demi menjaga keamanan keselamatan dan kesejahteraan persekitaran, di samping untuk mencegah kegiatan jenayah pecah rumah dan curi.

Bagaimanapun, sepanjang rondaan dan sekatan jalan raya dijalankan tidak ada sebarang kesalahan jenayah didapati.

ARTIKEL YANG SAMA