Penduduk kampung kenali LiveWIRE

Penduduk kampung kenali LiveWIRE

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Rombongan seramai 35 orang penduduk Kampung Sengkurong ‘A’ yang menyertai Program Masyarakat Bermaklumat telah mengadakan lawatan ke LiveWIRE Brunei, di sini, hari ini, sebagai aktiviti terakhir program dua hari berkenaan.

Dalam lawatan itu, para peserta mendengar taklimat mengenai visi dan misi LiveWIRE Brunei dalam membantu meningkatkan atau memajukan pengusaha-pengusaha di negara ini, yang disampaikan oleh wakil dari LiveWIRE Brunei, Awang Mohammad Fadhilullah Tudun bin Haji Hassan.

Ketua Kampung Sengkurong ‘A’, Dr Haji Abdullah Hanif bin OKMD Haji Saman juga selaku wakil rombongan dalam ucapannya menerangkan, program dua hari itu telah banyak memberi maklumat sangat berguna kepada para peserta.

Beberapa isu substantif telah dikenal pasti untuk diketahui oleh masyarakat umum terutama ahli-ahli keluarga masing-masing.

“Pemudah cara kepada keusahawanan telah menjadi focal point penting dalam soal jawab kami semasa mengikuti program tersebut, bersesuaian dan berfaedah kepada mereka yang mahu mempertingkat ekonomi dan kualiti hidup dengan menceburi dunia keusahawanan,” ujarnya.

Sesi bergambar ramai bersama para peserta di luar Pejabat LiveWIRE.
Sesi bergambar ramai bersama para peserta di luar Pejabat LiveWIRE.
Dr Haji Abdullah Hanif menyampaikan ucapan alu-aluannya.
Dr Haji Abdullah Hanif menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Antara yang diserapkan dalam program berkenaan ialah taklimat keusahawanan daripada Darussalam Enterprise (DARe), taklimat keusahawanan ternakan dan tanaman dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta kefahaman ajaran sesat dan cara menghindarinya yang disampaikan oleh wakil Bahagian Penguatkuasaan Agama.

Program tersebut bertujuan untuk menyuntik semangat dan inspirasi kepada masyarakat dalam mempertingkatkan taraf hidup mereka, melalui aktiviti keusahawanan dan memberikan pengetahuan mengenai dengan kefahaman ajaran sesat dan cara menghindarinya.

Ia merupakan aktiviti tahunan Jabatan Penerangan dalam merealisasikan visi jabatan iaitu ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’.

ARTIKEL YANG SAMA