Penduduk Kampung Telisai berasa lega

Penduduk Kampung Telisai berasa lega

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 6 Jan – Penduduk Kampung Telisai dan kawasan sekitarnya akhirnya berasa lega atas pembinaan simpang masuk dan lampu isyarat menuju ke kampung tersebut yang sudah mula dibuka sejak dua hari yang lalu.

Semasa Media Permata meninjau di persekitaran Kampung Telisai, Pengurus Restoran Haji K.K Koya dan Anak-anak, Haji Ali bin Mohammad Syarif menyatakan perasaan bersyukur atas pembinaan simpang masuk berkenaan kerana jalan tersebut dapat memudahkan orang ramai agar tidak mengambil masa yang panjang untuk masuk ke kampung tersebut dan dapat menjimatkan minyak kereta.

Haji Ali menambah bahawa, secara tidak langsung, ia juga memudahkan para pengunjung dari Daerah Tutong dan Bandar Seri Begawan yang dalam perjalanan ke Miri atau Kuala Belait untuk mengunjungi restoran tersebut.

Manakala, Penolong Pengurus Kedai Nur Asyrafina di Kampung Telisai, Awang Abdul Aziz bin Abdul Mutalif mengakui sebelum pembinaan simpang masuk menuju ke Telisai dibina dan masih menggunakan lebuh raya baru Telisai-Lumut, keadaan jalan raya agak sunyi dan beberapa kenderaan sahaja yang melintas.

Namun setelah simpang masuk ke Kampung Telisai dirasmikan, Awang Abdul Aziz mengakui ramai pengguna jalan raya telah mulai menggunakan semula jalan ke Kampung Telisai menuju ke Kampung Lumut.

Keadaan di Stesen Minyak Telisai.
Keadaan di Stesen Minyak Telisai.
Simpang masuk yang baru dibina khas untuk penduduk sekitar Kampung Telisai dan pengguna jalan raya yang lain.
Simpang masuk yang baru dibina khas untuk penduduk sekitar Kampung Telisai dan pengguna jalan raya yang lain.

Beliau yakin bahawa sudah pasti ramai orang akan membuat perhentian di Kampung Telisai atau sekitarnya untuk berehat atau membuat persinggahan ke kedai-kedai runcit.

Sementara itu, salah seorang peniaga di Gerai Telisai, Awang Sahaidi bin Sahibul, 56, sebelum ini pernah merungut dan mengeluh terhadap kekurangan pelanggan setelah Lebuhraya Telisai-Lumut dibina.

“Bukan pelanggan sahaja yang berkurangan, bahkan peniaga-peniaga Gerai Telisai juga semakin berkurangan dan telahpun berpindah ke Pasar Jerudong dan sesetengahnya berniaga di tepi Lebuhraya Telisai-Lumut,” tegas Awang Sahaidi.

Keadaan sekitar Gerai Telisai pada masa kini yang masih lagi sunyi.
Keadaan sekitar Gerai Telisai pada masa kini yang masih lagi sunyi.

Setelah terbinanya simpang masuk itu, beliau berharap pelanggan-pelanggan akan mudah untuk membeli barangan di tempatnya dan berharap lebih ramai peniaga mengambil peluang ini untuk berniaga semula di Gerai Telisai dan menyarankan peniaga-peniaga yang berjual di tepi lebuh raya akan sentiasa memikirkan keselamatan bersama, di samping menyeru agar mereka berniaga di tempat yang disediakan oleh kerajaan.

Manakala salah seorang pekerja atendan pam minyak di Stesen Minyak Telisai, Dayang Nur Aqilah binti Abu Bakar menjelaskan bahawa jelas nampak perbezaan jumlah pelanggan membeli minyak di stesen itu yang semakin meningkat setelah bukanya simpang masuk menuju ke Telisai-Lumut.

Beliau menjelaskan, ketika ini pembelian minyak di Stesen Minyak Telisai semakin bertambah berbanding sebelum simpang baru itu dibuka dan berharap para pelanggan di stesen berkenaan akan semakin bertambah.

ARTIKEL YANG SAMA