Penduduk kawasan Esszone perlu patuhi arahan

Penduduk kawasan Esszone perlu patuhi arahan

KUALA LUMPUR, 23 Julai – Penduduk terutama nelayan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) perlu sentiasa mematuhi arahan dan peraturan keselamatan yang telah dikeluarkan pihak berkuasa.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata ia bagi mengelak kejadian penculikan yang berlaku di perairan Dent Haven, Tambisan, Sabah baru-baru ini, berulang.

Beliau berkata pelanggaran arahan yang dikeluarkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan jenayah itu.

“Sekiranya mereka ingin melakukan sebarang aktiviti di sesuatu kawasan, mereka haruslah merujuk kepada pihak Esscom terlebih dahulu supaya pihak berkuasa dapat menentukan aktiviti yang dijalankan berada dalam keadaan salamat,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri TLDM yang dihadiri lebih 6,000 tetamu di KD Sri Gombak di sini, hari Sabtu.

Ahmad Kamarulzaman berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan sekiranya Esscom memerlukan bantuan dari segi anggota dan aset bagi memastikan keselamatan Esszone terjamin. – Bernama