Penduduk kekurangan makanan, pertempuran di Kunduz berterusan

Penduduk kekurangan makanan, pertempuran di Kunduz berterusan

KUNDUZ, Afghanistan, 6 Okt – Makanan sedang kehabisan tatkala tentera di Afghanistan bertempur dengan militan Taliban untuk hari ketiga di Kunduz semalam, kata penduduk, dengan berpuluh orang melarikan diri dari bandar strategik Afghan kerana bimbangkan lebih banyak keganasan.

Militan Taliban pada Isnin melancarkan satu serangan di timur laut bandar Kunduz, menaikkan bendera mereka di persimpangan utama, menurut saksi, sebelum tentera Afghan yang disokong oleh NATO mengusir mereka ke kawasan pinggir bandar.

Sejak lewat Isnin, tentera Afghan telah melancarkan operasi pembersihan yang teliti, dengan pegawai mengingatkan bahawa militan mungkin bersembunyi di rumah orang awam tatkala pertempuran diteruskan di pinggir bandar.

“Kami menghadapi kekurangan makanan di bandar. Harga sedang meningkat. Satu buku roti yang berharga 15 Afghanis kini dijual dengan harga 40 Afghanis,” beritahu seorang penduduk, Khalid, kepada AFP.

“Orang perlu menunggu dalam barisan berjam-jam lamanya di belakang kedai roti untuk membeli roti,” kata beliau. “Rakyat yang ketakutan masih cuba melarikan diri di tengah laporan tidak sah mengatakan militan sedang menambah kehadiran mereka sekali lagi.

Pasukan keselamatan Afghanistan mengeluarkan kenderaan yang rosak teruk akibat serangan berani mati di Kabul, Afghanistan, kelmarin. – AP
Pasukan keselamatan Afghanistan mengeluarkan kenderaan yang rosak teruk akibat serangan berani mati di Kabul, Afghanistan, kelmarin. – AP

“Hampir kesemua orang di bandar mahu meninggalkan bandar. Saya berusaha mencari pengangkutan selama beberapa jam hari ini, namun semua kereta sudah penuh,” beritahu Nasirullah, menunggu di perhentian bas bersama lima ahli keluarganya, kepada AFP.

Khairuddin, seorang guru di bandar, berkata sekolah, universiti dan institusi swasta dan awam lain ditutup dan penduduk tidak mempunyai bekalan elektrik kerana stesen tenaga utama telah pun dimusnahkan oleh militan.

“Beberapa kedai yang masih buka sedang kehabisan makanan.

Kami tidak tahu bila kerajaan akan memulakan operasi pembersihan mereka untuk mengusir Taliban daripada bandar,” kata beliau.

Jalan utama ke bandar juga terputus, katanya. Namun Mahmood Danish, jurucakap kepada gabenor Kunduz, berkata tentera Afghan sedang bertindak perlahan kerana bimbang dengan keselamatan orang awam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA