Penduduk Kg Sg Liang tidak puas hati isu pengambilan tanah

Penduduk Kg Sg Liang tidak puas hati isu pengambilan tanah

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 21 Jun – Beberapa penduduk kampung yang tinggal di sekitar Jalan Kecil Sungai Liang yang terjejas dalam pengambilan tanah bagi tapak tambahan Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) meluahkan rasa tidak puas hati berhubung soal pampasan yang menurut mereka tidak mencukupi.

Haji Taib bin Haji Awang Damit, Haji Bujang bin Haji Matnor, Awang Sulaiman bin Haji Mohd Noor dan Awang Juni bin Majid adalah sebahagian daripada 20 hingga 30 pemilik rumah dan tanah yang terjejas meluahkan rasa terkilan mereka dalam temu bual dengan Media Permata baru-baru ini.

Haji Taib yang bercakap bagi pihak penduduk kampung itu berkata, mereka tidak mendapat penerangan yang jelas daripada pihak-pihak berkenaan meskipun keputusan yang dibuat boleh memberi kesan mendalam kepada kehidupan mereka.

“Dalam perbincangan lalu, baru-baru ini, ramai yang menyatakan kekeliruan berhubung isi kandungan surat yang disampaikan kepada mereka mengenai keputusan untuk mengambil balik tanah di kawasan tersebut. Antara isu penting yang dikemukakan oleh penduduk adalah wang pampasan yang diberikan bagi pengambilan balik tanah-tanah mereka serta ketidakpastian dan ketidaktentuan bagi jangka waktu pemindahan,” jelas Haji Taib.

Katanya, terdapat cadangan secara lisan untuk memberi tanah kepada penduduk berkenaan di kawasan penempatan yang sesuai, tetapi ia perlu diperhalusi lagi kerana ia turut membabitkan beberapa masalah lain seperti kemudahan prasarana serta kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung oleh penduduk.

Salah sebuah rumah di kawasan Jalan Kecil Sungai Liang yang dicadangkan bagi penambahan tapak Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) di Kuala Belait.
Salah sebuah rumah di kawasan Jalan Kecil Sungai Liang yang dicadangkan bagi penambahan tapak Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) di Kuala Belait.

Menurut Haji Taib, mereka sememangnya menyokong 100 peratus projek dan usaha pihak yang berkenaan untuk meningkatkan tahap perekonomian di kampung tersebut dengan penambahan kawasan SPARK, akan tetapi kebajikan penduduk kampung haruslah diambil kira dan dijaga sebaiknya agar tidak menjejaskan kehidupan yang telah mereka bina selama ini di kampung itu

“Penduduk yang terbabit perlu diberi kesejahteraan dan keutamaan dan dirunding secara bertanggungjawab dan teratur. Apa-apa keputusan yang hendak dilaksanakan haruslah dibincangkan dahulu dengan penduduk di sini secara berperingkat agar kesemua penduduk mempunyai pengetahuan dan maklumat yang terperinci agar mereka (seluruh penduduk kampung) dapat membuat kata sepakat mengenai isu ini, selain diberikan peluang untuk memberi pendapat mereka di dalam perkara yang sensitif sebegini,” ujar Haji Taib lagi.

Justeru itu, beberapa perkara telah dihadapkan kepada pihak berkenaan yang menangani isu ini yang diharapkan dapat menjadi jalan penyelesaian kepada masalah tersebut.

Mereka menyatakan luahan hati bahawa mereka tidak lagi terdaya berusaha untuk memikirkan soal membuat rumah dan meratakan tanah mereka sendiri atas faktor kesihatan dan fakta umur yang meningkat dan tidak mengizinkan.

Mereka juga memohon kerajaan agar mereka dipertimbangkan untuk diberi satu petempatan semula yang sesuai bagi penduduk terbabit dan menyediakan tanah serta kemudahan untuk membuat rumah mereka sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA