Penduduk mengeluh taman permainan rosak

Penduduk mengeluh taman permainan rosak

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 5 Jan – Gelongsor yang patah, rantai ayun yang direntap dari tempatnya, gelanggang badminton atau sepak takraw hilang jaring serta rumput yang panjang antara pemandangan yang menjelikkan di kawasan Taman Permainan Rancangan Perumahan Negara Kampung Panaga 2000.

Rancangan Perumahan berkenaan baharu sahaja didiami sekitar tahun 2011 tetapi banyak kemudahan permainannya sudah rosak, terbengkalai dan tidak terjaga menyebabkan sakit mata memandang.

Salah seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Haji Bujang berkata, memandangkan kemudahan permainan di taman tersebut banyak yang rosak, beliau berasa tidak selamat untuk membiarkan anak-anaknya bermain di situ.

“Tempatnya yang kotor dan rumput yang panjang bukanlah tempat yang sesuai bagi anak-anak saya untuk meluangkan masa mereka setiap petang selepas balik dari sekolah mahupun pada hujung minggu,” katanya.

Menurut beliau lagi, rumput-rumput di sana kelihatan dipotong hanya sebulan sekali sahaja.

Keadaan taman permainan di Jalan Keruak Kampung Panaga 2000 yang rosak.
Keadaan taman permainan di Jalan Keruak Kampung Panaga 2000 yang rosak.

pg08_160106_b

Seorang lagi penduduk, Dayang Faridah ketika ditemui juga menyuarakan perasaan yang sama apabila melihat keadaan taman permainan yang tidak teratur tanpa dijaga dan diselenggara oleh pihak yang berwajib.

“Kalau dibiarkan anak-anak bermain, kita tidak tahu apa yang akan terjadi. Rumput yang panjang, nauzubillah ada ular yang tidak kelihatan boleh menyerang kanak-kanak yang bermain di situ.

“Kemudahan permainan dirosakkan oleh mereka yang berkeliaran melepak di sana pada waktu malam juga membuatkan saya berasa tidak senang,” jelasnya lagi.

Salah seorang penduduk yang tidak ingin dikenali berjumpa dengan Media Permata ketika berkunjung ke taman permainan itu memberitahu, apabila Pengawasan Kejiranan meronda bersama pihak polis, barulah aktiviti lepak pada waktu malam berkurangan.

Penduduk kampung masih lagi mencari ikhtiar bagaimana memperbaiki taman permainan tersebut agar selamat digunakan oleh anak-anak pada masa lapang.

Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap ketika ditemui hari ini berkata, surat rasmi memohon bantuan untuk membaiki taman permainan itu telah dihantar ke Jabatan Kemajuan Perumahan tahun lepas, tetapi tiada maklum balas positif telah diterima setakat ini.

ARTIKEL YANG SAMA