Penduduk miskin Romania disinari cahaya solar

GORBANESTI, Romania – Waktu sudah lewat namun Nicoleta Monea dan anak-anaknya masih belum dapat tidur kerana malam ini adalah malam terakhir buat keluarga Monea akan meluangkan masanya tanpa elektrik. Mereka sangat besyukur kepada ‘Lelaki Yang Membawa Cahaya’.

Kini sudah masuk lima tahun Iulian Angheluta dan projek ‘Cahaya untuk Romania’ telah menyumbangkan atau memberikan tenaga pada rumah-rumah kediaman (mereka yang berpendapatan rendah) di negara kedua termiskin dalam Kesatuan Eropah.

Keluarga Monea seramai lapan orang ini menyara diri mereka dengan pendapatan kurang daripada 100 euro (AS$118) sebulan. Mereka setentunya layak untuk mendapatkan bantuan ini. Tempat kediaman mereka di kampung Gorbanesti, utara wilayah Botosani ini adalah salah satu bahagian di Romania yang serba kekurangan.

Ramai yang telah meninggalkan kawasan tersebut untuk mencari pekerjaan di tempat yang lebih kaya di Eropah sejak Romania bergabung dengan EU sedekad yang lalu. Seiring dengan kemiskinan, kekurangan harta benda dan juga pertikaian mengenai harta warisan keluarga menyumbang kepada fakta bahawa hampir 100,000 rumah masih terputus dari grid kebangsaan, memaksa keluarga untuk hidup dengan hanya menggunakan cahaya matahari.

“Kanak-kanak perlu melakukan kerja sekolah mereka sejurus setelah mereka pulang ke rumah,” kata Nicoleta yang berusia 39 tahun. “Jika mereka membiarkannya terlalu lama, apabila menjelang malam, mereka tidak akan dapat melihatnya. Kadang-kadang bila perkara itu terjadi, mereka akan bersedih.”

Seorang wanita mendokong anaknya di luar rumah yang tidak mempunyai tenaga elektrik. – AFP
Iulian Angheluta bersiap sedia untuk memasang panel tenaga suria di salah sebuah rumah di perkampungan Gorbanesti, di timur laut Romania. – AFP
Seorang sukarelawan bersiap sedia untuk memasang panel tenaga suria di salah sebuah rumah di perkampungan Gorbanesti. – AFP

Keluarga Monea telah tinggal di rumah usang itu selama 20 tahun dan di sana juga mereka membesarkan anak mereka.

“Ia adalah suatu yang susah terutamanya ketika mereka masih lagi anak kecil,” tambah Nicoleta.

“Kami melakukan tugas kerajaan, yang dibiayai dengan cukai kami,” kata Angheluta, seorang eksekutif pengiklanan berusia 42 tahun, ketika dia dan tiga sukarelawan menyediakan peralatan mereka di rumah Moneas.

“Terdapatnya strategi mengenai tenaga yang telah diserahkan daripada satu kerajaan ke kerajaan yang seterusnya, namun tiada seorang pun yang melakukan apa-apa.”

Pihak berkuasa mengaku bahawa program elektrifikasi yang dijanjikan itu tidak dapat dilaksanakan. Hampir 99,000 rumah sepatutnya disambungkan ke grid dalam tahun di antara 2012 dan 2016, akan tetapi kementerian kewangan memberitahu AFP bahawa usaha itu tidak pernah dilakukan kerana kerajaan tidak berjaya mengumpulkan 210 juta euro yang diperlukan.

Penyelesaian yang telah dilakukan oleh Angheluta ialah untuk memasang panel solar pada rumah dan sekolah yang terpilih serta menyeberangi negara untuk menyebarkan cahaya. Keluarga Monea adalah keluarga ke-92 yang mendapat manfaat ini, mendapat bayaran kebajikan sebanyak 90 euro sebulan, ditambah oleh pendapatan tambahan yang sedikit daripada ayah kanak-kanak iaitu Georgica kerana memelihara lembu-lembu jiran.

Sehingga sekarang, sumber cahaya mereka hanya datang daripada mentol kecil berkuasa bateri dan pada kebiasaannya adalah lilin untuk memberikan cahaya pada ikon Ortodoks mereka.

“Apabila ayah hendak mengecas telefon bimbitnya, kami akan pergi ke rumah jiran,” kata Catalin yang berusia 14 tahun.

Seorang wanita menghabiskan masanya di luar rumah di mana ahli sukarelawan sedang memasang panel tenaga suria di perkampungan Gorbanesti. – AFP

Dan perkara tersebut juga tidak percuma, ibunya menegaskan. “Kami membayar enam lei (kira-kira 1.30 euro) untuk mengecas bateri.” Panel solar tersebut akan memberikan kuasa yang cukup untuk menghidupkan lampu dan mengecas telefon bimbit Georgica walaupun peti sejuk masih lagi di luar jangkaan. Sumber tenaga yang boleh diperbaharui ini bermaksud tidak akan ada bil eletrik dan keluarga tersebut tidak perlu untuk membayar 1,000 euro untuk memasang panel itu.

“Kami mempunyai penaja yang membiayai kawangan operasi kami mengikut kehendak mereka: sebahagian membiaya sebuah rumah atau sekolah dan ada juga untuk seluruh kampung,” kata Angheluta yang mana dia dan kumpulannya lebih mengutamakan keluarga yang mempunyai bilangan anak yang ramai.

Tidak jauh daripada Moneas, Vasile Iftime dan isterinya juga menantikan panel solar tersebut.

“Saya mengatakan pada diri sendiri jika rumah saya diberikan cahaya, ia adalah seakan-akan di dalam syurga,” kata Vasile yang berusia 35 tahun, ayah kepada lima orang anak.

Musim sejuk adalah waktu yang paling sukar. “Waktu malamnya adalah panjang dan kanak-kanak hanya duduk di tempat yang gelap tanpa melakukan apa-apa,” katanya.

Angheluta mengatakan bahawa pemberian cahaya ini adalah “satu langkah kehadapan” bagi penduduk Romania yang hidup dalam keadaan miskin, “akan tetapi ramai penduduk juga mempunyai kekurangan dalam banyak perkara seperti pendidikan, kewangan dan kemudahan kepada sistem kesihatan.”

Dan kadang-kadang, apabila pertolongan secara percuma diberikan, ia akan disambut dengan perasaan syak wasangka.

“Orang mengalami kesukaran untuk mempercayainya bahawa kami akan memberikan cahaya pada rumah mereka secara percuma,” katanya. Namun, dia telah melihat orang tua mengeluarkan air mata setelah melihat rumahnya disambungkan kepada grid.

Sebaliknya, Angheluta mengatakan bahawa sebahagian daripada kanak-kanak itu masih kelihatan trauma dengan hidup mereka yang dalam kemiskinan untuk menunjukkan pelbagai emosi setelah melihat lampu itu dihidupkan.

“Namun saya tahu pada waktu malam apabila kami sudah pergi, mereka akan bermain dengan suiz lampu dan bermimpi mengenai kartun.” – AFP