Penduduk, peniaga di Telisai merungut

Penduduk, peniaga di Telisai merungut

Oleh Normazlina M.D & Ak Fairol RMF

 

TUTONG, 12 Julai – Objektif projek pembinaan Lebuh Raya Telisai-Lumut antara lain adalah bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas Jalan Telisai-Lumut di samping dapat meningkatkan keselamatan jalan raya.

Namun penduduk yang tinggal di Kampung Telamba, Telisai, Danau dan sekitarnya meluahkan rasa ketidaksenangan kerana penggunaan pusingan U (U-Turn) menuju ke simpang Telisai adalah jauh dan memakan masa yang lama.

Bagi pengguna jalan menuju dari Bandar Seri Begawan (BSB) ke Telisai, pengguna lebuh raya hendaklah memasuki pusingan U pertama setelah melintasi simpang Stesen Satelit Telisai sejauh kira-kira 5.5 kilometer dan seterusnya memandu sejauh 5.5 kilometer lagi menuju masuk ke simpang Telisai. Oleh itu, jumlah jarak menuju ke simpang Telisai adalah sejauh 11 kilometer.

Salah seorang penduduk Kampung Telisai yang menggunakan jalan tersebut setiap hari melahirkan rasa amat tidak puas hati kerana jarak jauh pusingan U dan masuk menuju ke Telisai adalah sama seperti jarak menuju dari Telisai ke Pekan Tutong.

Bahkan, katanya, jika terdapat aduan kecemasan di kampung tersebut, agensi-agensi keselamatan seperti Pasukan Bomba dan Penyelamat dan Kecemasan Ambulan lambat sampai menuju ke kampung tersebut disebabkan terpaksa menggunakan pusingan U yang jauh.

Seorang lagi penduduk Telisai, Haji Jaafar bin Moksin yang tinggal di kampung berkenaan selama 33 tahun pula berkata, perjalanan menuju ke pusingan U dan masuk ke Telisai yang memakan masa 10 hingga 15 minit adalah membuang masa, yang mana sebelum ini, jalan terus menuju ke Telisai adalah amat mudah saja.

Lebuhraya Telisai-Lumut baru sering digunakan orang ramai bagi kemudahan pengguna menuju ke Kua-la Belait.
Lebuhraya Telisai-Lumut baru sering digunakan orang ramai bagi kemudahan pengguna menuju ke Kua-la Belait.
Pusingan U yang menjadi rungutan bagi penduduk Kampung Telisai mengambil lebih 11 kilometer untuk mencapai ke kampung berkenaan.
Pusingan U yang menjadi rungutan bagi penduduk Kampung Telisai mengambil lebih 11 kilometer untuk mencapai ke kampung berkenaan.
Restoran K.K. Koya yang biasanya dipenuhi pelanggan, sekarang berkurangan.
Restoran K.K. Koya yang biasanya dipenuhi pelanggan, sekarang berkurangan.

Manakala itu, jika beliau hendak menuju ke Kuala Belait dari Kampung Telisai jika menggunakan lebuh raya baru terpaksa melalui jambatan Bukit Beruang.

Oleh itu, beliau berharap pihak berkenaan memberikan kemudahan seperti membina pusing keliling atau jalan pintas menuju ke Telisai bagi memudahkan lagi penduduk kampung.

Masalah juga turut dikongsikan oleh salah seorang pemandu dari Bandar Seri Begawan menuju ke Kuala Belait, Awang Abdullah bin Tengah, yang menurutnya, jika beliau ingin membeli minyak kereta menuju ke kampung berkenaan terpaksa melalui pusingan U yang jauh dan khuatir jika mempunyai minyak yang sikit, ia tidak akan dapat menampung perjalanan sejauh 11 kilometer menuju ke kampung berkenaan dari Stesen Satelit Telisai.

Haji Irwan bin Serudin yang tinggal di Daerah Brunei Muara pula memberi pandangan sebaliknya. Beliau yang bertugas di salah sebuah syarikat di Kuala Belait berasa selesa dengan perjalanan lebuh raya baru yang menurutnya lebih menjimatkan masa.

“Saya amat bersyukur adanya lebuh raya baru ini, ia bukan sahaja memberi perjalanan mudah bahkan ianya mengambil masa yang pendek untuk menuju ke Kuala Belait,” ujarnya.

Mengenai pusingan U itu, beliau berpendapat, ia bukan menjadi satu masalah besar bagi pemandu kerana sistem yang dibina agak teratur bagi memberi perjalanan yang lancar.

Menurutnya lagi, kita seharusnya bersyukur atas pembangunan baru ini kerana pembinaan ini setentunya untuk menyenangkan rakyat.

Selain daripada penduduk di Kampung Telisai, peniaga-peniaga setempat juga menyuarakan keluhan yang menurut mereka, setelah pembinaan lebuh raya baru itu keadaan trafik berkurangan, sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga-peniaga setempat yang bergantung berat daripada arus trafik perjalanan yang padat.

Pihak Media Permata yang membuat tinjauan di kawasan berkenaan, hari ini, mendengar banyak rungutan peniaga-peniaga di sana.

Pengusaha salah sebuah restoran yang telah lama beroperasi di Kampung Telisai, Restoran K.K Koya mengadu masalah penjualan mereka yang semakin merosot setelah pembukaan lebuh raya tersebut.

Ketika ditemui, anak pemilik restoran K.K Koya, Awang Nordin bin Haji Abdul Halim meluahkan rasa tidak senang dengan jumlah pelanggan yang semakin berkurangan, yang mana setakat ini mereka telah kehilangan sebanyak 50 peratus pendapatan setiap hari.

“Biasanya pada awal pagi, pelanggan-pelanggan akan turun ke restoran kami untuk sarapan pagi sebelum menuju ke Seria, Kuala Belait atau Miri. Setelah lebuh raya baru dibuka, keadaan berubah menjadi sepi,” katanya dengan hiba.

“Dengan terjejasnya ekonomi penjualan yang merosot, kami terpaksa mengurangkan stok bahan-bahan masakan dan terpaksa membayar sewa bulanan yang mengurangkan pendapatan kami.”

Manakala itu, rakan perniagaan lain, Abdul Aziz bin Abdul Muthalif turut mengongsikan kekecewaan beliau apabila melihat keadaan jalan yang semakin sunyi memandangkan kebanyakan pemandu menggunakan lebuh raya tersebut.

Masalah ini bukan sahaja menjejaskan kedai-kedai dan syarikat kecil di kawasan tersebut, bahkan ia juga menjejaskan penjaja-penjaja di Gerai Telisai.

Jumlah penjaja di Gerai Telisai semakin berkurangan setelah lebuh raya Telisai-Lumut dibukakan, ini berkemungkinan kerana penjaja mencari lokasi strategik baru atau hilang tempat bergantung pendapatan mereka.

Salah seorang penjaja di sana, Dayang Norijah binti Abdullah yang bergantung kepada jualan hariannya seperti jagung, rambutan, durian dan sebagainya, memberitahu bahawa pada masa ini hasil jualan berkurangan.

Menurutnya, sebelum ini, setiap hujung minggu, orang dari Bandar Seri Begawan sempat turun membeli barang jualannya, namun pada masa ini, barang jualannya tidak berkurangan sehingga menjadi layu.

Selain mengutarakan masalah penjualannya yang merosot, beliau juga merasa amat kurang senang dengan laluan menuju ke Kampung Telisai setelah mengambil buah-buahan yang hendak dijualnya dari Kampung Lamunin memandangkan beliau pada masa ini tinggal di Kampung Lumut.

Sementara itu, penyelia Stesen Minyak Telisai mengatakan, biasanya stesen minyak berkenaan menjadi tumpuan perhentian untuk membeli minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Belait.

Namun bermula bulan ini jualan minyak semakin menurun memandangkan hanya beberapa buah kereta singgah membeli minyak yang biasanya hanya penduduk Kampung Telisai.

Syarikat tersebut juga menurunkan pembelian bekalan minyak kepada 50 peratus bagi mengimbangkan dengan pendapatan keseluruhan, ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA