Penduduk rasa lebih selamat dengan adanya Esscom

Penduduk rasa lebih selamat dengan adanya Esscom

LAHAD DATU, 3 Jun (Bernama) – Penduduk di daerah Lahad Datu kini menjalani kehidupan harian dengan selesa dan rasa lebih selamat.

Mereka tidak lagi takut untuk keluar mencari rezeki berbanding sebelum ini, berikutan pencerobohan pengganas dua tahun lalu.

Insiden pencerobohan itu masih sukar dipadam daripada ingatan, terutamanya di kalangan penduduk Felda Sahabat, namun mereka kini yakin keselamatan lebih terjamin, sama ada di darat mahupun di laut.

Keyakinan itu wujud berikutan komitmen dan dedikasi petugas pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) yang bertanggungjawab menjaga kedaulatan dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Penubuhan ESSCom diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac 2013 bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan di Sabah setelah pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Ketua Kampung Lok Buani, Roslan Abd Hamid, 49, memberitahu bahawa penduduk semakin yakin dengan keupayaan dan kemampuan ESSCom dalam memastikan keselamatan mereka terus terpelihara.

Meskipun berlaku beberapa kes penculikan, mereka bersyukur kerana umumnya suasana lebih aman dan selamat dengan kehadiran dan kawalan ketat pihak penguat kuasa berkenaan.

“Kita yakin keadaan lebih selamat… dahulu tiada rondaan tentera, polis atau marin secara kerap seperti sekarang… pastinya itu melegakan penduduk,” katanya kepada Bernama yang menyertai Kembara Media anjuran Jabatan Penerangan ke Lahad Datu baru-baru ini.

Turut mengakui tahap keselamatan di kawasan ESSZone kini jauh lebih baik dan selamat berbanding sebelum tragedi hitam 2013 itu ialah Ketua Kampung Tanjung Labian, Mahmood Mellang, 74.

Katanya aktiviti harian penduduk kembali berjalan seperti sedia kala termasuk mereka yang bekerja sebagai nelayan dan usahawan.

“Mereka tidak lagi takut untuk turun ke laut, malah yang bertani di daratpun tiada masalah, keadaan sekarang selesa dan terkawal,” ujar beliau.

Mahmood berkata pewujudan sebuah kem tentera secara kekal di Kampung Tanduo menambah lagi keyakinan penduduk bahawa keselamatan mereka sentiasa terjamin.

Dalam pada itu, seorang daripada penduduk yang rumahnya musnah dibakar ketika insiden pencerobohan di Tanjung Labian, Titina Ajis, 43, berkata walaupun rumahnya tidak lagi dapat diduduki, suri rumah itu bersyukur terhadap keprihatinan kerajaan membina rumah baharu untuknya di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau serta suaminya yang merupakan pesara kerajaan, turut mengakui berasa lebih selamat mendiami PPR Kampung Tanjung Labian itu terutama dengan adanya kem tentera berdekatan.

“Ketika pencerobohan itu, saya menjaga bapa berusia 70-an yang sedang sakit… kami keluar dari rumah sehelai sepinggang sebelum serangan dan berlindung di dewan… rumah kami hangus terbakar.

“Saya bersyukur kerana bantuan yang diberi mencukupi, iaitu rumah baharu yang lengkap dengan bekalan elektrik dan air,” katanya, yang berpindah ke rumah tersebut kira-kira empat bulan lalu. Bagi

Karolina Kabir, 29, sungguhpun tiada lagi rasa takut menyelubungi perasaan, suri rumah itu berpendapat prasarana awam di sekitar PPR itu perlu dipertingkatkan.

“Kemudahan di sini kurang. Masjid dan surau jauh, tiada padang bola,” kata ibu kepada tujuh orang anak itu.

Bagi membantu penduduk berkenaan, kerajaan menerusi PPR, membina semula 45 rumah iaitu 25 buah Kampung Tanjung Batu dan 20 lagi di Kampung Tanjung Labian dengan kos RM60,000 setiap satu, selain membaiki 103 lagi rumah yang mengalami kerosakan.