Penduduk Selatan Thailand yakin peranan Malaysia

Penduduk Selatan Thailand yakin peranan Malaysia

PATANI, 24 Ogos (Bernama) – Esok berlangsung pusingan ketiga dialog antara kerajaan Thailand dan Majlis Amanah Rakyat Pattani (Mara Patani) di Kuala Lumpur dan daripada tinjauan, nyata penduduk di selatan Thailand amat yakin dengan usaha yang dijalankan termasuk usaha Malaysia sebagai fasilitator.

Tinjauan oleh Deep South Watch menyatakan sekitar 80.6 peratus penduduk yakin dengan peranan Malaysia manakala 80.2 peratus pula, yakin terhadap proses damai yang dijalankan secara berterusan oleh kerajaan Thailand sejak 2013.

Pengarah Deep South Watch, Dr Srisompop Jitpiromsi berkata beliau melihat peranan Malaysia, khasnya pimpinan tertinggi Malaysia, sangat komited mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand.

Tinjauan bertajuk ‘Pandangan Rakyat di Selatan Thailand Dalam Situasi Terkini Berkaitan Pergolakan, Keadilan, Masalah Masyarakat dan Proses Damai’ itu melibatkan 2,104 responden, yang 45.1 peratus adalah wanita.

Kajian itu diadakan pada 13 Jun hingga 10 Julai lalu, untuk mendengar suara rakyat membabitkan 2,104 orang dari 302 kampung di empat wilayah bergolak di Pattani, Yala, Narathiwat dan empat Daerah di Songkla.

Srisompop berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha manakala fasilitator Malaysia Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim telah berusaha berkomunikasi dengan penduduk tempatan pada tahun lepas dan pada tahun ini.

“Oleh demikian, natijahnya positif tentang pandangan terhadap peranan Malaysia dalam membantu proses damai di selatan Thailand agak tinggi,” jelas beliau.

Menurut beliau hasil tinjauan yang dibuat kali ini akan disalurkan kepada pihak Malaysia melalui Sekretariat Pemudah Cara Proses Damai selepas maklumat itu disebar kepada pihak awam.

Berdasarkan statistik Deep South Watch, sejak tercetusnya konflik pada Januari 2004 hingga Julai 2015, merekodkan 15,091 insiden; 6,460 orang maut dan 11,730 orang cedera.

Proses rundingan damai di bawah kerajaan Thailand dan Mara Patani yang dipimpin oleh Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-ocha, mengadakan dua dialog tertutup pada April dan Jun lalu di Malaysia.

Bagi rundingan pusingan ketiga perwakilan kerajaan Thailand diketuai Jen Aksara Kerdpol manakala delegasi Mara Patani akan diketuai Matsukri Hari.

Mara Patani ditubuhkan pada 25 Okt 2014 oleh Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan pada Mac lalu ia membuka peluang kepada organisasi perjuangan Patani yang lain untuk menyertainya supaya ada satu organisasi yang menentukan hala tuju perjuangan mereka termasuk menetapkan tuntutan secara bersama dalam rundingan damai dengan pihak kerajaan Thai.

Sementara itu, bekas pemimpin kanan Patani Liberation Organisation (PULO) Ismail Ternang, melihat satu daripada sebab kegagalan dalam proses damai sebelum ini adalah kerana tidak ada kesungguhan berdamai.

ARTIKEL YANG SAMA