Penduduk Sg Liang tubuh JK cari penyelesaian

Penduduk Sg Liang tubuh JK cari penyelesaian

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 8 Julai – Sebuah jawatankuasa bertindak sementara bagi menangani isu pengambilan tanah di Jalan Kecil Sg Liang di Mukim Sg Liang, Daerah Belait telah ditubuhkan berunding dengan pihak-pihak berkenaan bagi mencari penyelesaian terbaik untuk penduduk yang terlibat.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan Haji Taib bin Haji Awang Damit (gambar) berkata, jawatankuasa tersebut mengandungi 14 orang ahli termasuk Ahli Mesyuarat Negara Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Pemangku Ketua Kampung Sg Liang Haji Mohd Ibrahim bin DMS Dian di mana mereka akan mewakili 30 orang pemilik tanah dan rumah dalam sesi perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan.

Katanya, mereka akan menghantar surat rasmi kepada pihak Jabatan Tanah dibawah Kementerian Pembangunan yang bercadang untuk mengambil balik tanah-tanah mereka bagi tujuan pembesaran tapak Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) dibawah seliaan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB).

Dalam sesi temu bual bersama media di sini hari ini, Haji Taib berkata, dua isu utama yang akan dikemukakan ialah mengenai penempatan semula penduduk-penduduk yang terjejas dan cadangan penilaian tanah mengikut kadar yang sesuai.

Katanya, cadangan yang diberikan kepada sebilangan penduduk Kampung Sg Liang untuk menetap di satu kawasan di Tunggulian tidak dapat diterima atas sebab isu pampasan yang rendah serta kos-kos tinggi yang diperlukan dalam mendirikan rumah di kawasan itu.

pg01_150709_c

“Kawasan di Tunggulian hanya diberikan tanah akan tetapi memandangkan isu kos yang tinggi seperti meratakan tanah, mengambil khidmat jurutera, membeli keperluan untuk membangunkan rumah dan sebagainya akan menambah lagi beban kepada kami.

“Justeru itu kami juga menyuarakan dalam surat rasmi ini untuk membincangkan isu penempatan semula dengan pihak berkenaan,” ujar beliau.

Menurut Haji Taib, matlamat utama jawatankuasa adalah untuk menghadapkan isu bagi mereka yang tidak mempunyai rumah mahupun tanah untuk didirikan manakala mana-mana penduduk yang mempunyai rumah di tempat lain tetapi mempunyai keinginan untuk mendapatkan juga tanah sendiri bolehlah juga menghantar surat secara persendirian kepada pihak yang berkenaan.

Beliau berkata bagi pihak semua penduduk di Jalan Kecil Sg Liang, mereka berharap dengan surat rasmi itu akan dapat menyuarakan perihal mereka kepada pihak atasan untuk mengadakan sesi perbincangan dalam menyelesaikan isu pengambilan tanah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA