Penembak Reagan bebas dari hospital psikiatrik AS

Penembak Reagan bebas dari hospital psikiatrik AS

WASHINGTON, 11 Sept – John Hinckley, lelaki yang cuba membunuh presiden Ronald Reagan 35 tahun lalu, dibebaskan dari hospital psikiatrik di Washington semalam, menurut satu laporan.

Hinckley dibenarkan keluar dari Hospital St. Elizabeths, lapor Washington Post, dengan memetik sumber peguamnya, Barry Levine, yang mengesahkan anak guamnya akan keluar dari hospital itu pada sebelah pagi, dan juga dari sumber seorang saksi di kampus hospital itu.

Phyllis Jones, jurucakap wanita bagi Jabatan Behavioral Health bandar itu memberitahu AFP bahawa dia tidak boleh mengulas tentang pesakit-pesakit tertentu. Levine tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan apabila dihubungi oleh AFP.

Seorang hakim persekutuan pada Julai lalu memerintahkan bahawa Hinckley, 61 tahun, tidak lagi memperlihatkan ancaman pada dirinya atau orang lain dan dibenarkan tinggal bersama ibunya yang berusia 90 tahun di kawasan berpagar di Williamsburg, Virginia – di bawah beberapa syarat ketat.

Gambar fail bertarikh 18 November 2003 menunjukkan John Hinckley semasa berada di Mahkamah Daerah AS di Washington. – AP
Gambar fail bertarikh 18 November 2003 menunjukkan John Hinckley semasa berada di Mahkamah Daerah AS di Washington. – AP

Sejak 1990an, Hinckley telah secara beransur-ansur mendapat kebenaran bagi kunjungan lebih lama di bawah seliaan bersama ibunya, secara berterusan sehingga 17 hari. Ejen-ejen Perkhidmatan Rahsia telah mengawasi setiap perjalanan itu.

Hinckley, yang diisytiharkan tidak bersalah atas sebab kurang waras, berkata selepas penembakan pada 30 Mac 1981, di luar sebuah hotel di Washington bahawa dia mahu membunuh Reagan untuk menarik perhatian aktres Jodie Foster, yang begitu digilainya selepas menonton filem “Taxi Diver”.

Keluarga Reagan dan juga yayasan presiden Reagan terus menerus membantah pembebasan Hinckley. – AFP