Penemuan bom asap: siasatan menjurus kepada polis, tentera

Penemuan bom asap: siasatan menjurus kepada polis, tentera

KUALA LUMPUR, 5 Okt – Siasatan berhubung penemuan dua butir bom asap di tempat pembuangan sampah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas, Setapak di sini semalam, menjurus kepada pasukan polis dan tentera.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata ini kerana, bahan letupan itu hanya dibekalkan kepada dua agensi keselamatan itu untuk kegunaan ketenteraman awam dan pertunjukan seperti demonstrasi Hari Kebangsaan.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan bahawa penemuan bom itu mempunyai sebarang unsur keganasan termasuk Perhimpunan Mohamad Roy berkata Unit Pemusnah Bom Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati bom berkenaan masih aktif tetapi tiada tarikh luput tertera pada bom itu.

“Bom itu dihantar ke Unit Forensik PDRM untuk pemeriksaan,” katanya sambil menjelaskan bom itu tidak mungkin mempunyai kaitan dengan orang awam kerana kilang berkenaan hanya boleh membekalkan bom berkenaan kepada polis atau tentera.

Supt. Mohamad Roy Suhaimi Sarif menunjukkan gambar penemuan dua biji bom asap berwarna hijau yang dibungkus dalam plastik putih di kawasan pembuangan sampah di luar pagar Blok H Program Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Wangsa Maju kelmarin. - Bernama
Supt. Mohamad Roy Suhaimi Sarif menunjukkan gambar penemuan dua biji bom asap berwarna hijau yang dibungkus dalam plastik putih di kawasan pembuangan sampah di luar pagar Blok H Program Perumahan Rakyat (PPR) Air Panas pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Wangsa Maju kelmarin. – Bernama

Beliau berkata pada kebiasannya, bahan letupan akan disimpan dalam stor senjata dan ia perlu direkod sebelum dikeluarkan daripada stor.

“Dalam kes ini, kita akan tahu bom itu asal dari mana selepas dimaklumkan kilang berkenaan. Kita akan tengok rekod, siapa yang membawanya keluar dan untuk tujuan apa ia dikeluarkan sama ada untuk kegunaan atau pelupusan,” katanya.

Ditanya bagaimana Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) boleh menemui bom itu di PPR Air Panas, Mohamad Roy memberitahu FRU diminta membantu melaksanakan Ops Cegah Jenayah di kawasan itu bermula semalam berikutan kadar jenayah di situ agak membimbangkan.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata bom asap itu ditemui di PPR itu kira-kira 3:30 petang. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA