Penemuan bom gemparkan penghuni

Penemuan bom gemparkan penghuni

PETALING JAYA, 17 April (Bernama) – Lebih 200 penghuni kondominium di Damansara Perdana gempar apabila dimaklumkan terdapat lima butir bom ditemukan dalam sebuah unit kediaman itu pagi tadi.

Penghuni yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata beliau sekeluarga terkejut apabila jirannya memberitahu blok kediaman mereka sedang dikawal dengan ketat oleh pasukan polis serta Bomba dan Penyelamat Malaysia kerana terdapat bahan letupan.

“Bimbang dengan keselamatan, kami segera membawa keluarga keluar dari rumah dan turun ke tingkat bawah bersama jiran yang lain,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata serbuan yang dibuat hasil risikan awal itu berjaya menemukan bahan letupan itu dalam sebuah unit di tingkat 17 bangunan berkenaan pada 4.30 pagi tadi.

Dua suspek yang dipercayai warga tempatan bagaimanapun telah meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan polis.

“Hasil pemeriksaan polis di dalam rumah itu terdapat lima butir bom buatan sendiri, bahan-bahan litar elektrik serta belerang yang digunakan untuk membuat bom.

“Polis turut menemukan kotak berwarna hitam berisi sejumlah dadah jenis syabu serta pil ekstasi,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.