Penentang k’jaan perpaduan Libya teruskan rampasan

Penentang k’jaan perpaduan Libya teruskan rampasan

TRIPOLI, 14 Sept – Pasukan yang menentang kerajaan perpaduan Libya, semalam merampas pelabuhan minyak keempat, menyempurnakan pengambilan alih tapak penting di ‘kawasan utama minyak’ negara Afrika Utara, menurut sumber ketenteraan.

Pertempuran untuk mengawal aset minyak Libya mengundang kebimbangan baru meletusnya perang saudara di negara itu yang dilanda kekacauan selepas kebangkitan 2011 yang menggulingkan dan membunuh diktator Moamar Gaddafi.

Kerajaan Perjanjian Kebangsaan(GNA) yang disokong AS, yang beribu pejabat di Tripoli berusaha sedaya upaya untuk menegaskan kuasanya dan telah berdepan penentangan kuat dari pentadbiran saingan yang berpangkalan di timur terpencil Libya.

Orang kuat tentera Jeneral Khalifa Haftar Ahad lalu melancarkan serangan ke atas ‘kawasan utama minyak’ Libya di sepanjang pantai utara.

Pasukannya menumpaskan para pengawal untuk meraih kawalan ke atas terminal minyak di Ras Lanuf, Al-Sidra dan Zuwaytania dan mereka akhirnya menguasai Brega tanpa tentangan semalam.

Gambar fail bertarikh 5 Mac 2011 menunjukkan pemberontak antikerajaan berada di hadapan sebuah kilang minyak di Ras Lanuf, timur Libya. – AP
Gambar fail bertarikh 5 Mac 2011 menunjukkan pemberontak antikerajaan berada di hadapan sebuah kilang minyak di Ras Lanuf, timur Libya. – AP

“Kami telah mengambil alih kawalan ke atas pelabuhan Brega sepenuhnya dan tanpa sebarang pertempuran,” kata Kolonel Muftah al-Muqarief, yang mengetuai pengawal minyak yang setia kepada Haftar. “Keseluruhan rantau kawasan utama minyak kini di bawah kawalan kami,” Muqarief memberitahu AFP.

Brega telah dikuasai pada sebahagian besar kerana “pengantaraan yang melibatkan para penduduk dan ketua bandar,” katanya lagi. Kehilangan Brega adalah tamparan hebat bagi GNA.

Pengambilan alih Brega dibuat beberapa jam selepas AS dan sekutu-sekutu utama Eropah yang menyokong GNA – menyelar serangan Haftar, yang mengulangi kenyataan utusan khas PBB Martin Kobler.

Minyak adalah sumber asli utama Libya dengan simpanan kira-kira pada 48 bilion tong, terbesar di Afrika, tetapi penghasilan menjunam sejak 2011 ketika negara kacau bilau. – AFP