Penentuan nombor satu dunia

Penentuan nombor satu dunia

LONDON, 20 Nov – Andy Murray dan Novak Djokovic akan bertembung bagi menentukan kedudukan ranking nombor satu dunia apabila kedua-duanya akan bersaing pada perlawanan akhir Jelah ATP Final, awal pagi esok selepas masing-masing mara ke perlawanan akhir mereka.

Murray yang juga pemain nombor satu dunia terpaksa mengharungi perlawanan epik apabila memerlukan tiga jam 38 minit yang juga rekod pertemuan terpanjang kejohanan sebelum menewaskan pemain Kanada, Milos Raonic 5-7, 7-6 (5), 7-6 (9) di O2 Arena.

Bintang kelahiran Scotland yang sedang memburu kemenangan pertamanya di Jelajah ATP Final sekali gus menamatkan tahun ini selaku pemain nombor satu dunia hampir melengkapkan sidang medianya sebelum Djokovic mudah menewaskan pemain Jepun, Kei Nishikori 6-1, 6-1.

Murray yang terpaksa merendamkan badan dengan ais selepas pertarungan sukar itu sebelum ini turut dipaksa bekerja keras oleh Nishikori pada perlawanan yang memakan masa tiga jam 20 minit, Rabu lalu.

Kini, tugasannya makin sukar untuk melindungi rekod tiga bulan tanpa kalah – keputusan yang membuatkannya berjaya memintas kedudukan Djokovic di puncak dunia.

Andy Murray dan Novak Djokovic bersaing bagi merebut takhta Jelajah ATP Final sekali gus menentukan siapa yang bakal menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia. - AFP
Andy Murray dan Novak Djokovic bersaing bagi merebut takhta Jelajah ATP Final sekali gus menentukan siapa yang bakal menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia. – AFP

Bagi penganjur kejohanan besar seperti ini, pertemuan Murray dan Djokovic adalah pertarungan idaman dan senario yang diimpikan ialah menentukan siapa yang akan menamatkan saingan musim ini selaku pemain nombor satu dunia.

Djokovic dalam pada itu jelas pemain yang lebih segar selepas bergelut dengan prestasi pada pertengahan tahun ini.

“Perkara ini tidak pernah berlaku,” kata pemain kelahiran Serbia itu yang menewaskan Murray dalam lima daripada tujuh pertemuan final Grand Slam termasuk di Australia dan Perancis, tahun ini.

“Saya merasa berbangga untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini. Ini adalah satu daripada perlawanan terbesar yang akan kami temui sesama sendiri.”

Mengulas perlawanan dengan Raonic, Murray menyifatkannya sebagai dramatik.

“Ia bukan saja sukar secara fizikal, namun mental. Ia memberi kamu tekanan.” – AP