Penenun Syria kecewa terpaksa tutup bengkel

Penenun Syria kecewa terpaksa tutup bengkel

ARIHA – Dengan kecekapan yang diperoleh daripada pengalaman selama bedekad-dekad, Abu Mohammad menenun benang tebal berwarna hijau dengan menggunakan mesin tenun di barat laut Syria, menghasilkan corak warna geometrik yang dikenali dalam tekstil Arab.

Ia merupakan hari terakhir sebelum penenun yang berusia 50-an itu dipaksa menutup bengkel tersebut, menyebabkan lima buah mesin tenun terakhir di kampung halamannya, Ariha, di Wilayah Idlib, mengumpul debu.

“Perdagangan ini sudah tiada lagi. Hari ini adalah hari terakhir kami bekerja dengan menggunakan mesin tenun ini, kerana kami sudah kehabisan benang,” kata lelaki tersebut.

Tenunan telah musnah disebabkan perang saudara Syria yang berlarutan selama lima tahun, dengan benang menjadi semakin sukar didapatkan dari Aleppo, yang merupakan pusat pertukangan tangan negara tersebut tetapi kini musnah oleh pertempuran dan pengeboman.

Bandar yang teruk terjejas itu, terletak 70 kilometer timur laut Ariha, merupakan pembekal utama bagi benang kasar untuk menenun tekstil Arab, fabrik serba guna dihasilkan menjadi ambal, sarung perabot, dan barangan dalam rumah yang lain.

Seorang penenun veteran menjalani hari terakhirnya menggunakan mesin tenunan di sebuah bengkel di Ariha. – AFP
Seorang penenun veteran menjalani hari terakhirnya menggunakan mesin tenunan di sebuah bengkel di Ariha. – AFP
Kelihatan Abu Mohammad (kiri) bekerja dengan penuh tekun bersama dua orang lagi rakannya. – AFP
Kelihatan Abu Mohammad (kiri) bekerja dengan penuh tekun bersama dua orang lagi rakannya. – AFP

Tetapi kini daerah-daerah Aleppo yang ditawan telah dikepung oleh tentera kerajaan, menjadikannya mustahil untuk mendapatkan benang dari sana, dan bahan-bahan dari kawasan yang dikawal rejim di barat adalah terlalu mahal, jelas Abu Mohammad.

Di hari terakhirnya, beliau bekerja dengan begitu gigih seperti masa mula-mula beliau bekerja ketika masih remaja.

Bunyi panel-panel berlanggar hanya terganggu dengan bunyi nyanyian Abu Mohammad, atau masa rehat bersama rakan penenunnya.

‘Ini sahaja yang kami ada’

“Ariha memang dikenali dalam pembuatan produk ini,” kata Abu Mohammad, menunjukkan selimut berwarna hijau dan merah, dan sarung bantal yang tergantung pada dinding di belakangnya.

“Kami menghasilkan kesemua barangan dalam rumah. Kami boleh melengkapi keseluruhan rumah.” “Sebelum peperangan, terdapat lebih daripada 100 mesin tenun di Ariha, tetapi kini hanya tinggal beberapa buah mesin tenun sahaja iaitu yang berada di kedai ini,” katanya.

Apabila pengepungan ke atas Aleppo semakin diketatkan dan akses bagi mendapatkan benang semakin sukar, hanya tiga buah mesin tenun di bengkel Ariha yang masih aktif.

“Sebelum peperangan ini, perdagangan kami melonjak naik. Kami boleh membeli benang dengan sangat murah dari Aleppo,” kata Abu Mohammad.

Beliau menarik keluar sebuah kotak kecil yang berisi beberapa dozen gelendong benang berwarna-warni.

“Ini sahaja yang kami ada.”

Kini, satu kilogram adunan kapas dan poliester yang digunakan untuk tekstil bernilai 3,500 paun Syria (AS$7), naik daripada 175 paun sebelum perang. Abu Mohammad menunjukkan ambal yang tergantung di dinding: “Sebelum ini, saya boleh menghasilkan keseluruhan ambal ini dengan hanya 200 paun Syria.”

Seorang lagi penenun veteran, Abu Mostafa yang berusia 40 tahun, berkata bahawa belaiu mula bekerja menenun semasa beliau berusia 12 tahun.

Abu Mohammad menunjukkan karpet yang masih belum siap. – AFP
Abu Mohammad menunjukkan karpet yang masih belum siap. – AFP
Kini, satu kilogram adunan kapas dan poliester yang digunakan untuk tekstil bernilai 3,500 paun Syria (AS$7), naik daripada 175 paun sebelum perang. – AFP
Kini, satu kilogram adunan kapas dan poliester yang digunakan untuk tekstil bernilai 3,500 paun Syria (AS$7), naik daripada 175 paun sebelum perang. – AFP

Beliau sudah mencuba kerja yang lebih stabil dalam pelbagai bidang, tetapi tidak pernah rasa selesa melakukannya selain daripada menenun, jelasnya.

“Saya pernah pergi ke Lubnan dan bekerja dalam kerja binaan, kemudian pergi ke Turki selama beberapa bulan, tetapi saya tidak dapat bertahan dalam mana-mana kerja terlalu lama.”

Mengecewakan

Abu Mostafa kelihatan penuh bangga apabila melihatkan hasil jubah dan sarung bantal yang dihasilkannya. “Tidak ada orang lain yang berkebolehan dalam menghasilkan produk seperti ini. Ia seolah-olah seperti dicetak,” katanya.

“Saya cabar mana-mana komputer untuk hasilkan sesuatu seperti ini!” Produk-produk dari Ariha sebelum ini dijual ke seluruh Syria.

Meskipun peperangan terjadi, mereka masih mengeksport ke kawasan-kawasan yang dikawal oleh tentera rejim seperti di Damsyik dan Hama, serta di pasar-pasar serantau seperti Lubnan dan Arab Saudi.

Tetapi kini membuat penghantaran produk-produk tenunan, sama ada di dalam atau di luar Syria, mengambil masa antara dua dan tiga bulan, bahkan sangat mahal.

“Kebiasaannya kami menghantar produk kami ke Damsyik pada jam 10 pagi dan ia akan tiba di sana pada jam 2 petang,” kata Abu Mohammad.

Meskipun dengan banyak tekanan pada masa ini, penghasilan tekstil Arab akan diteruskan juga di masa akan datang, tegas penenun veteran itu.

“Jika ada benang yang mencukupi, kami akan bekerja dengan menggunakan kesemua mesin tenunan. Mesin-mesin tenunan semua tersedia, kami hanya memerlukan benang.

“Sangat mengecewakan semuanya berakhir begini.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA