Penenun tempatan terima anugerah ASEAN Selection 2016

Penenun tempatan terima anugerah ASEAN Selection 2016

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Pereka kain tenunan tempatan, Hajah Dayang Kadariah binti Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar telah dipilih daripada kalangan pereka tempatan untuk menerima anugerah ‘ASEAN Selection 2016’ yang berlangsung di Thailand, baru-baru ini.

Beliau merupakan salah seorang daripada 10 penerima, masing-masing dari negara anggota ASEAN untuk menerima anugerah berkenaan yang dianjurkan oleh Pusat Sokongan Kesenian dan Pertukangan Antarabangsa Thailand (SACICT).

Antara objektifnya termasuklah bagi mewujudkan kesedaran dan menggalakkan pertukangan tangan dalam kalangan masyarakat untuk mendapatkan inspirasi dan memperlihatkan kepentingan dalam membangunkan produk-produk pertukangan tangan.

Hajah Dayang Jamilah mewakili Hajah Dayang Kadariah menerima anugerah ASEAN Selection 2016 yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Thailand.
Hajah Dayang Jamilah mewakili Hajah Dayang Kadariah menerima anugerah ASEAN Selection 2016 yang disampaikan oleh Menteri Perdagangan Thailand.

Selain itu, ia juga mewujudkan persefahaman dalam proses pembangunan produk kraf tangan dan produk kraf inovatif untuk kedua-dua peringkat domestik dan antarabangsa, serta mengeratkan hubungan silaturahim bersama penggiat pertukangan, para pereka dan seni dalam bertukar pendapat dan mendapatkan idea daripada mereka yang terpilih.

Pada tahun ini, SACICT telah memilih 10 orang pereka tekstil dan fesyen dari negara-negara ASEAN dengan bertemakan ‘Innovative Craft of Textiles in ASEAN: Ethnic Accents’.

ARTIKEL YANG SAMA