Peneraju utama bioteknologi global

Peneraju utama bioteknologi global

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) – Malaysia sudah bersedia untuk menjadi pemain utama dalam sektor industri bioteknologi global dengan bermulanya operasi kemudahan bersepadu biometionina dan thio bernilai RM2.1 bilion.

Kilang bersepadu yang dimiliki oleh CJ CheilJedang (CJ) dari Korea dan Arkema dari Peranchis itu , terletak di Taman Biopolimer Kertih (KBP), Terengganu.

Dengan bermulanya operasi kilang pengeluaran CJ-Arkema, Malaysia kini merupakan pengeluar biometionina mesra alam yang pertama di dunia.

Kilang itu telah pun mengeksport kumpulan pertama asid amino ke Indonesia dalam Januari 2015.

Dipromosikan secara bersama oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia, fasiliti tersebut merupakan pelaburan tunggal terbesar di dalam sektor bioteknologi di Malaysia, setakat ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka berkata, projek itu mempunyai potensi jumlah pelaburan sebanyak RM3 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Dalam jangka masa panjang, projek tersebut dijangka menjana pendapatan negara kasar terkumpul (GNI) sebanyak RM20.4 bilion dan mampu mewujudkan 2,500 pekerjaan untuk negara menjelang 2020.

Ini termasuk 474 orang yang diambil bekerja oleh CJ dan Arkema, di mana 60 peratus terdiri daripada kakitangan peringkat teknikal tertinggi dan berpengetahuan seperti ahli mikrobiologi, ahli kimia, jurutera dan pakar bioteknologi.

CJ merupakan peneraju dunia dalam industri bioteknologi dengan inovasi di dalam penapaian dan penulenan, sementara Arkema, yang memiliki teknologi platform proprietari merupakan sebuah syarikat kimia global dan pengeluar kimia khusus yang terkemuka.

ARTIKEL YANG SAMA