Peneraju utama pejuang IS maut

Peneraju utama pejuang IS maut

BEIRUT, 31 Ogos – Salah seorang ketua tertinggi kumpulan Islam IS, Abu Mohamed al-Adnani, yang digambarkan oleh AS sebagai ‘peneraju utama’ serangan kumpulan itu ke atas Barat, terbunuh di Syria, pertubuhan pejuang jihad itu mengumumkan.

AS berkata pasukan gabungan telah melancarkan serangan semalam yang menyasarkan Adnani di wilayah Aleppo dan ia masih menilai hasil serangan itu, tetapi kematiannya adalah tamparan hebat kepada kumpulan itu.

Salah seorang anggota IS yang paling dikenali, Adnani pernah menggesa bagi serangan bersendirian ke atas orang awam dengan menggunakan senjata termasuklah pisau dan malah kenderaan, seperti yang berlaku di Nice pada 14 Julai lalu, apabila seorang pejuang jihad memandu sebuah lori melalui orang ramai yang sedang berpesta dan membunuh 86 orang.

Agensi berita IS, Amaq berkata Adnani dibunuh ketika meninjau operasi untuk menangkis kempen tentera ke atas Aleppo dan berjanji akan membalas dendam ke atas kematiannya.

Di Washington, jurucakap Pentagon Peter Cook berkata Adnani, telah menjadi pembentuk utama operasi luar ISIL dan sebagai ketua jurucakap ISIL, dengan menggunakan nama lain bagi kumpulan itu.

“Dia menyelaraskan gerakan pejuang-pejuang ISIL, secara langsung menggalakkan serangan bersendirian ke atas orang awam dan anggota tentera dan aktif merekrut anggota baru ISIL,” katanya.

Adnani, yang dijanjikan ganjaran bernilai AS$5 juta bagi sesiapa yang berjaya menangkapnya, berasal dari wilayah barat Syria, Idlib dan menyertai gerakan pejuang jihad di Iraq, yang mana dia pernah berkhidmat di bawah ketua Al-Qaeda, Abu Musab al-Zarqawi.

Aymenn Jawad Tamimi, seorang pakar tentang kumpulan pejuang jihad, berkata kematiannya begitu bersimbolik dan menunjukkan kejatuhan lebih luas kumpulan Islam IS.”

Katanya “Jika serangan udara oleh pasukan campuran mengenainya, itu menunjukkan penembusan perisikan pasukan campuran sangat tinggi.”

Seorang pegawai pertahanan AS menyifatkan dia sebagai salah seorang ketua paling kanan IS dan jauh lebih penting dari hanya sebagai jurucakap kumpulan itu.

“Terutamanya, dia berkhidmat sebagai ketua operasi luar ISIL, yang mengarahkan dan mendorong serangan pengganas besar di luar Iraq dan Syria,” katanya. – AFP