Penerangan TPPA guna bahasa mudah difahami rakyat – Mustapa

Penerangan TPPA guna bahasa mudah difahami rakyat – Mustapa

KOTA BAHARU, 11 Okt – Penerangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kepada rakyat akan diperhebatkan dengan penggunaan bahasa yang mudah difahami, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata melihatkan rakyat begitu berminat untuk mengetahui tentang TPPA, beliau akan menjelajah ke seluruh negara untuk berjumpa dengan pelbagai golongan termasuk pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO), usahawan dan wakil-wakil kerajaan negeri.

“Mungkin mereka yang menentang kerana tidak faham berkaitan TPPA,” katanya kepada pemberita selepas memberi penerangan mengenai TPPA kepada kira-kira 1,000 orang termasuk pegawai kerajaan, pemimpin NGO dan usahawan negeri ini di sini hari ini.

Mustapa berkata selain penerangan bersemuka, pihaknya juga ada menyediakan penerangan mengenai TPPA melalui portal kementeriannya.

“Kita bertanggungjawab dan yang penting kita hendak telus, nak dedah semua, hendak beritahu, ini penting untuk masa depan kita,” katanya.

Selain beberapa tokoh tertentu yang arif mengenai TPPA, Mustapa berkata beliau sendiri akan memberi penerangan tersebut kerana beliau terlibat secara langsung dan faham terutama dalam soal teknikal mengenai perjanjian itu.

Menurut laporan, menteri-menteri perdagangan Pasifik telah merumuskan rundingan bagi TPPA baru-baru ini. Pihak-pihak yang terlibat ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA