Penerangan TPPA mula difahami rakyat – Mustapa

Penerangan TPPA mula difahami rakyat – Mustapa

KOTA BAHARU, 18 Okt – Penerangan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang dilaksanakan di seluruh negara mula memberi lebih kefahaman kepada rakyat, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata melalui penerangan tersebut, rakyat dapat mengetahui dan memahami kebaikan serta keburukan TPPA apabila dilaksanakan kelak.

“Dulu sebelum diberi penerangan, mereka nampak buruk sahaja tetapi sekarang ini saya dapati lebih seimbang, tahap kefahaman itu semakin meningkat setelah mendapat gambaran yang lebih menyeluruh mengenai TPPA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Wisma Persekutuan Bersama Pelanggan dan Fiesta Koperasi Wisma Persekutuan Kelantan di sini, hari ini.

Mustapa berharap melalui program penerangan tersebut rakyat dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya mengenai kebaikan dan keburukan TPPA yang akan dibahaskan di Parlimen.

Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab pertanyaan ketika soal jawab mengenai cabaran TPP di Pitch-ing Centre jumaat lalu. - Bernama
Datuk Seri Mustapa Mohamed menjawab pertanyaan ketika soal jawab mengenai cabaran TPP di Pitch-ing Centre jumaat lalu. – Bernama

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan berharap negeri itu akan diperuntukkan projek baharu yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat melalui Belanjawan 2016 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 23 Okt ini.

Beliau juga meminta penjawat awam membantu kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai cabaran yang sedang dihadapi negara termasuk dari segi ekonomi. – Bernama