Penerbangan ASEAN tersekat gara-gara amalan kuno

Penerbangan ASEAN tersekat gara-gara amalan kuno

Tan Sri Tony Fernandes berkata hari ini ASEAN perlu mengetepikan peraturan-peraturan kuno dalam industri penerbangan agar ia dapat memanfaatkan sepenuhnya industri berkenaan. – Bernama
Tan Sri Tony Fernandes berkata hari ini ASEAN perlu mengetepikan peraturan-peraturan kuno dalam industri penerbangan agar ia dapat memanfaatkan sepenuhnya industri berkenaan. – Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Jun – ASEAN perlu mengetepikan peraturan-peraturan kuno dalam industri penerbangan agar ia dapat memanfaatkan sepenuhnya industri berkenaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes hari ini.

“Terdapat senario politik yang besar di belakang industri penerbangan. Lihat bank dan lapangan terbang, di mana seseorang boleh memilikinya 100 peratus. Selain itu banyak pemilikan bersama infrastruktur seperti pelabuhan dan jalan.

“Tetapi kenapa penerbangan dipencilkan? Ini membawa kepada gangguan modal dan kekurangan pelaburan.

“Oleh itu kenapa penerbangan yang menjadi pemacu penting dalam pertumbuhan ekonomi berada dalam kedudukan tidak cekap?” soal beliau ketika ditemui di Forum Ekonomi Dunia Mengenai ASEAN di mana kertas putih mengenai industri itu dikeluarkan.

Kertas putih itu mencadangkan penghapusan ‘peraturan kewarganegaraan’ yang melarang pemilikan asing syarikat penerbangan, yang mengehadkan pelabur berpotensi syarikat penerbangan dan dengan itu meningkatkan kos modal.

Menurut kertas putih itu, ia juga menafikan peluang syarikat penerbangan untuk menggunakan penggabungan antara negara anak syarikat asing bagi mencapai kecekapan saiz dan skop, bagi mengintegrasi sepenuhnya rangkaian mereka dalam usaha menawarkan penumpang pilihan laluan yang meluas serta bagi memanfaatkan pemindahan pengetahuan antara kumpulan pengurusan.

Fernandes berkata, jika wujud peraturan pemilikan tunggal di ASEAN, AirAsia boleh menjimatkan kira-kira empat peratus daripada marginnya, “dan itulah apa yang hebat mengenai kertas putih itu kerana ia telah mengesahkan semua perkara yang telah kami katakan (mengenai sektor itu).”

“Jika kita tidak bekerjasama dengan menggunakan potensi besar 700 juta penduduk, kita akan terlepas pelbagai peluang besar,” kata Fernandes.

Kertas putih itu menyatakan yang sektor penerbangan ASEAN mempunyai potensi untuk menyumbang sehingga 12 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) rantau ini. – Bernama