Penerbangan batal, banjir landa lapangan terbang Chennai

Penerbangan batal, banjir landa lapangan terbang Chennai

NEW DELHI, 2 Dis (Bernama) – Kesemua penerbangan keluar atau memasuki Chennai, Tamil Nadu dibatalkan berikutan banjir yang melanda kawasan lapangan terbang.

Pengarah Lapangan Terbang Chennai, Deepak Shastri berkata air banjir di lapangan terbang telah sampai ke tempat peralatan pendaratan pesawat.

Beliau dipetik sebagai berkata penerbangan tidak dapat berlepas sehingga paras air surut.

Sementara itu, pasukan Tentera Darat dan Tentera Laut dikerah ke kawasan rendah di Chennai dalam operasi menyelamat ribuan mangsa yang terkandas di kediaman masing-masing akibat banjir yang semakin buruk. Pihak berkuasa telah meningkatkan operasi mencari dan menyelamat.

Menurut pegawai pihak berkuasa negeri, sekolah dan kolej terpaksa ditutup dan premis itu digunakan sebagai pusat penempatan mangsa banjir.

Banjir bukan sahaja melanda kawasan lapangan terbang Chennai mala beberapa kawasan lain di negeri Tamil Nadu itu sehingga menyebabkan penduduk terpaksa meredah banjir untuk mengangkut barangan dagangan mereka. – AFP
Banjir bukan sahaja melanda kawasan lapangan terbang Chennai mala beberapa kawasan lain di negeri Tamil Nadu itu sehingga menyebabkan penduduk terpaksa meredah banjir untuk mengangkut barangan dagangan mereka. – AFP

Bencana banjir itu dilapor turut menjejaskan perkhidmatan kereta api domestik dan antara bandar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri India Narendra Modi dilaporkan menghubungi Ketua Menteri Tamil Nadu J. Jayalalithaa lewat malam tadi untuk memaklumkan mengenai bantuan daripada kerajaan pusat.

“Saya telah menghubungi Jayalalithaa Ji berkenaan keadaan banjir yang melanda beberapa kawasan di Tamil Nadu. Saya akan usahakan sebarang bentuk bantuan serta kerjasama bagi menghadapi keadaan sukar ini,” kata Modi dalam akaun Twitter beliau.

Chennai dilaporkan dilanda banjir besar sejak dua minggu lepas sehingga mengorbankan hampir 120 orang ketika banjir gelombang pertama.

Menurut Jabatan Meteorologi India pada 16 Nov lepas, Chennai menerima taburan hujan 23.5sm berbanding 14sm yang dicatatkan pada 7 Nov 2005.

Dalam perkembangan berkaitan, jabatan itu meramalkan hujan lebat dijangka berterusan tiga hingga empat hari lagi.