Penerbangan kedua bakal haji berlepas

Penerbangan kedua bakal haji berlepas

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Kumpulan kedua bakal jemaah haji bertolak ke Madinah hari ini menggunakan pesawat Penerbangan Diraja Brunei BI4203 dan dijangka tiba di Madinah pada jam 4:32 petang waktu Madinah.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada bakal jemaah haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dan datin; Duta Besar Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Hisham bin Abdul Wahab bin Zar‘ah; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yussof; Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Harun bin Haji Junid dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Menteri Hal Ehwal Ugama dan juga Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TAIB mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara.
Menteri Hal Ehwal Ugama dan juga Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah TAIB mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara.
Bakal jemaah haji, Awang Abdul Razak bin Haji Sahat, Dayang Hamidah Ligah dan Dayang Rosni Ligah ketika bergambar ramai bersama keluarga dan sanak saudara yang hadir untuk mengucapkan selamat berlepas.

Bakal jemaah haji, Dayang Rakiah binti Haji Mohd Tahir dan Awang Mohammad Firdaus Ahmad bergambar ramai bersama keluarga dan sanak saudara yang hadir untuk mengucapkan selamat berlepas.
Bakal jemaah haji, Dayang Rakiah binti Haji Mohd Tahir dan Awang Mohammad Firdaus Ahmad bergambar ramai bersama keluarga dan sanak saudara yang hadir untuk mengucapkan selamat berlepas.

Rombongan bakal jemaah haji penerbangan kedua ini diiringi oleh pegawai-pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan seramai empat orang, dan empat orang dari Darussalam Holdings Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan pakej haji.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat, manakala Azan dilaungkan oleh Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.

Pelukan daripada sanak saudara sebelum salah seorang bakal jemaah haji berlepas ke Tanah Suci.
Pelukan daripada sanak saudara sebelum salah seorang bakal jemaah haji berlepas ke Tanah Suci.
Para bakal jemaah haji menadahkan tangan untuk sama-sama membaca Doa Selamat sebelum berlepas.
Para bakal jemaah haji menadahkan tangan untuk sama-sama membaca Doa Selamat sebelum berlepas.

Salah seorang bakal jemaah haji, Awang Roslan bin Haji Sulaiman ketika ditemu bual mengatakan bahawa hasrat untuk menunaikan Ibadah Haji kini tercapai sejak beliau mula menabung untuk Ibadah Haji pada tahun 2014 yang lalu.

Beliau meluahkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana menjemput beliau ke Tanah Suci untuk menunaikan Ibadah Haji dan gembira atas peluang dan nikmat untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan Ibadah Haji.

Sementara itu, Pegawai Pengiring Haji dari Darussalam Holdings Sdn Bhd berkata, penerbangan kedua ini kesemuanya di bawah jagaan Darussalam Holdings Sdn Bhd dan beliau berharap perjalanan bakal jemaah haji ini akan berjalan lancar dan dipermudahkan sepanjang keberadaan di Tanah Suci.

ARTIKEL YANG SAMA