Penerbangan kedua jemaah haji selamat pulang

Penerbangan kedua jemaah haji selamat pulang

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Penerbangan kedua jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah selamat kembali ke tanah air pada jam 3:40 petang hari ini dengan menggunakan pesawat Royal Brunei Airlines BI4216.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan kepulangan jemaah haji berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Harun bin Haji Junid dan Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Para jemaah haji bagi penerbangan kedua ini telah diiringi oleh pegawai-pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan serta Syarikat Darussalam Holdings Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan pakej Haji.

Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mudim Haji Amran bin Haji Mohd Salleh.

Keluarga Haji Mohammad Firdaus semasa ditemui wakil media.
Keluarga Haji Mohammad Firdaus semasa ditemui wakil media.

Para jemaah haji yang tiba petang kelmarin.
Para jemaah haji yang tiba petang kelmarin.

Salah seorang daripada rombongan yang menunaikan haji tahun ini, Haji Mohammad Firdaus bin Ahmad semasa ditemui pihak media melahirkan perasaan gembira dan bersyukur kerana telah dapat menunaikan haji bersama keluarganya.

Beliau juga menceritakan mengenai pelbagai cabaran yang dihadapi seperti tempat tidur yang sempit dan sebagainya namun ia tidak menjejaskan semangatnya dalam menunaikan ibadah haji dalam keadaan yang aman dan baik.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas perkhidmatan yang telah diberikan oleh Syarikat Darussalam Holdings kerana kesemua urusan beliau berjalan dengan lancar seperti yang telah diharapkan.

ARTIKEL YANG SAMA