Penerbangan Kuching-HK bermula April

Penerbangan Kuching-HK bermula April

KUCHING, 20 Jan – Hong Kong Airlines hari ini memeterai perjanjian dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) untuk memulakan penerbangan terus Hong Kong-Kuching dua kali seminggu bermula hujung April ini.

STB dalam kenyataan berkata perjanjian itu akan menyaksikan pesawat A320 dari Hong Kong mendarat di Kuching setiap hari Selasa dan Jumaat malam, dan berlepas semula ke Hong Kong keesokan harinya.

Perjanjian itu berlangsung di pejabat penerbangan itu di Lantau, Hong Kong hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif STB Datu Ik Pahon Joyik, yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak menandatangani perjanjian itu bagi pihak STB manakala Hong Kong Airlines diwakili Penolong Pengarah Komersial Michael Burke.

Majlis itu disaksikan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Menteri Muda Pelancongan Sarawak, Datuk Talib Zulpilip serta Datuk Gramong Juna.

Mengulas mengenai penerbangan terus itu, Abang Johari berkata majlis perjanjian itu menandakan satu lagi pencapaian dalam pembangunan industri pelancongan Sarawak.

“Ia merupakan petanda baik bagi kerajaan negeri,” katanya dan menambah ia sudah pasti membantu merangsang pergerakan pelancong dan pelancong perniagaan antara Hong Kong dan selatan China ke Sarawak serta sebaliknya.

Beliau melahirkan harapan Hong Kong akan menjadi hab seterusnya bagi Sarawak selain Singapura dan Kuala Lumpur, dalam usaha memasarkan pelancongan Sarawak untuk membawa lebih ramai pengunjung dari luar negara. – Bernama