Penerbangan pertama berlepas ke Tanah Suci

Penerbangan pertama berlepas ke Tanah Suci

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Penerbangan pertama bakal jemaah haji negara berlepas ke Tanah Suci hari ini, pada jam 10:45 pagi menggunakan pesawat Royal Brunei Airlines BI4201 dan dijangka tiba di Madinah pada jam 3:15 petang waktu Madinah.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Turut hadir ialah Duta Besar Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Hisham bin Abdul Wahab bin Zar‘ah; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Bakal-bakal jemaah haji juga diiringi oleh pegawai-pegawai dari Maktab Urusan Haji Perubatan, serta syarikat-syarikat pengendali perkhidmatan pakej haji iaitu Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Menteri Kesihatan mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Menteri Kesihatan mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara.
Isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama turut hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara.
Isteri Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama turut hadir untuk mengucapkan selamat berlepas kepada bakal-bakal jemaah haji negara.

Sebelum berlepas, Doa Selamat telah dibacakan oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili bin Haji Metali Al-Hafiz, manakala Azan dilaungkan oleh Mudim Haji Tamin bin Haji Awang Puting.

Salah seorang bakal haji, Dayang Rahimah binti Haji Hassan semasa ditemui berkata, beliau berasa bersyukur dan begitu gembira apabila dipilih untuk menunaikan Ibadah Haji bersama suaminya, Awang Jifri bin Haji Bini.

Katanya, beliau mula mengumpul wang tabung haji melalui Tekad Haji sejak tahun 2012 dan mula mendaftar Ibadah Haji pada tahun 2014 dan alhamdulillah telah terpilih menunaikan haji tahun ini.

Dayang Rahimah juga menyembahkan ucapan ribuan terima kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas keprihatinan Baginda Sultan dalam memberikan peluang yang terbaik kepada rakyatnya.

Rata-rata bakal jemaah haji yang lain semasa ditemui turut meluahkan rasa syukur dan gembira atas peluang dan nikmat untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu mengerjakan Ibadah Haji.

ARTIKEL YANG SAMA