Penerbangan sulung Rayani Air KL-KK

Penerbangan sulung Rayani Air KL-KK

KOTA KINABALU, 1 Feb – Rayani Air Sdn Bhd, syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia, hari ini memulakan penerbangan sulungnya bagi laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu, laluan ketiga selepas Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala Lumpur-Kota Baharu.

Ketibaan pesawat Boeing 737-400 dengan muatan penumpang kira-kira 70 peratus pada 11:10 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) disambut oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Masidi dalam ucapannya berkata kerajaan negeri Sabah menyambut baik langkah syarikat penerbangan itu yang menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik yang selari dengan usaha kerajaan untuk merancakkan industri pelancongan dalam negara.

“Ini merupakan satu langkah logik untuk memastikan ekonomi negara terus kukuh, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi global yang begitu mencabar,” katanya.

Beliau berkata masih ramai rakyat Malaysia yang belum mengenali keindahan dan keunikan negara sendiri.

Kerajaan negeri Sabah menyambut baik langkah syarikat penerbangan Rayani Air yang menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik yang selari dengan usaha kerajaan untuk merancakkan industri pelancongan dalam negara.
Kerajaan negeri Sabah menyambut baik langkah syarikat penerbangan Rayani Air yang menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik yang selari dengan usaha kerajaan untuk merancakkan industri pelancongan dalam negara.

Katanya pelancongan domestik perlu terus digalakkan dan penerbangan Rayani Air ke Sabah dapat membantu rakyat Malaysia mengenali negeri ini dengan lebih baik.

Katanya Sabah menawarkan banyak produk pelancongan termasuk pelancongan alam semulajadi seperti mendaki Gunung Kinabalu, pulau-pulau peranginan untuk aktiviti selaman dan kebudayaan.

Masidi berharap Rayani Air akan sentiasa mengutamakan kualiti perkhidmatan termasuk dari segi ketepatan masa agar setara dengan perkhidmatan penerbangan antarabangsa yang lain. – Bernama