Penerima anugerah lahir rasa syukur

Penerima anugerah lahir rasa syukur

Oleh Normazlina M.D & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Generasi baru warga perkhidmatan awam dan akan datang dinasihatkan supaya menjaga disiplin kerja serta menjaga masa, perlu ada amanah dan jujur, dan berkhidmatlah dengan penuh amanah.

Nasihat ini diberikan oleh salah seorang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) Bahagian II, Hajah Norati binti Haji Bakar yang telah bertugas sebagai Pegawai Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka selama 30 tahun sejak 1984.

Dalam temu bual selepas Hari Perkhidmatan Awam 2015 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, beliau melahirkan perasaan berbesar hati dan tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut. Menurutnya, sepanjang bertugas, beliau mengakui banyak cabaran dan pengalaman dilalui mengikut perkembangan zaman.

“Pada masa kini, banyak kecanggihan teknologi digunakan bagi membantu dan memudahkan mereka membuat tugas harian di samping cabaran-cabaran lain seperti mengembangkan lagi ilmu dalam bidang masing-masing,” jelasnya sambil menambah, semakin lama bekerja, semakin banyak kerja yang perlu dibuat.

Hajah Norati, salah seorang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) Bahagian II.
Hajah Norati, salah seorang penerima Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA) Bahagian II.

Dalam pada itu, beliau menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pengarah dan ketua-ketua di Dewan Bahasa dan Pustaka kerana memberi kepercayaan kepada dirinya dan menerima anugerah yang tidak dilupakan seterusnya berharap anugerah yang diterima itu akan memberinya semangat dan dorongan kepada warga perkhidmatan awam untuk bertugas dengan lebih berdisiplin.

Manakala itu, Pengiran Hasrin bin Pengiran Besar yang bertugas sebagai kerani di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan turut melahirkan penghargaan kehadapan majlis Baginda Sultan kerana dikurniakan Anugerah APCPA bagi Bahagian IV.

Beliau turut menyarankan warga perkhidmatan awam lain agar sentiasa membuat kerja yang disuruh, dan apa yang penting membuat kerja dengan niat kerana Allah Subhanahu Wa Ta’ala.