Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara berlepas ke Bangkok

Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara berlepas ke Bangkok

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A Write Award) bagi Negara Brunei Darussalam, Haji Abdul Aziz bin Tuah yang dikenali dengan nama penanya sebagai JaBIT Abdul Aziz, telah berlepas ke Bangkok, Thailand, bagi menghadiri Anugerah Penulis Asia Tenggara 2015 yang akan berlangsung esok (14 Disember).

Pada penganugerahan itu, Haji Abdul Aziz mengetengahkan hasil karya novelnya bertajuk ‘Sa.b.a!’ yang diterbitkan pada tahun 2010 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DBP, S.E.A Write Award merupakan anugerah yang diberikan setiap tahun sejak 1979 sebagai pengiktirafan kepada penyair dan penulis terkemuka di Asia Tengg1ara iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Negara Brunei Darussalam mula diundang untuk menghantar penulis bagi menerima anugerah tersebut pada 1986 setelah dua tahun mencapai kemerdekaan.

Organisasi yang bertanggungjawab bagi pemilihan penerima anugerah di Brunei ialah DBP, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang bertanggungjawab selaku urus setia anugerah bagi Negara Brunei Darussalam.

Sejak tahun 1986 sehingga sekarang, seramai 30 orang yang terdiri daripada penulis, penyair dan penggiat sastera dari negara ini telah diangkat dan diberi penghormatan menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh kerabat diraja Thailand.

Setiap tokoh penerima anugerah yang dipilih oleh panel penilai di negara masing-masing, dinilai berdasarkan hasil karya yang telah diterbitkan mengikuti genre yang ditetapkan oleh pihak penganjur di Bangkok.

Majlis penganugerahan tahun ini akan berlangsung esok (14 Disember 2015) di Royal Ballroom, Mandarin Oriental, Bangkok dan dijangka berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah ialah Puteri Sirivannavari Nariratana selaku wakil kepada Duli Yang Teramat Mulia Putera Mahkota Maha Vajalalongkorn.

ARTIKEL YANG SAMA